Pokok jati ditebang kerana capai tempoh matang – MB

Pokok jati yang telah ditebang di Jalan Abi Padang Melangit sementara sebelah kiri pokok yang belum matang.
- Advertisement -

KANGAR: Penebangan pokok jati di sekitar jalan di negeri ini kerana ia telah mencapai tempoh matang.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, jika dibiarkan pokok tersebut akan tumbang sekiranya berlaku angin kencang.

“Saya ingat sudah sampai masa pokok itu ditebang, pokok jati tiada akar tunjang jadi mudah tumbang.

“Jika dibiarkan lebih lama, ia akan membahayakan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan negeri, Awang Shaffie Awang Ahmadni berkata, projek penebangan pokok tersebut telah bermula pada 2019 lagi.

“Projek ini bermula pada tahun 2019 menerusi beberapa fasa di kawasan-kawasan strategik, bermula dengan fasa satu di Jalan Santan, Guar Jentik/Kaki bukit dan Padang Siding.

“Fasa kedua pula melibatkan Jalan Simpang Empat, Kok Klang dan Jalan Padang Melangit sementara fasa ketiga melibatkan Jalan Bukit Keteri/Batu Bertangkup dan Jejawi/Ngulang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ujarnya, kini ia sedang berada di fasa keempat melibatkan Jalan Abi Padang Melangit.

Menurut Awang Shaffie, jumlah fasa keseluruhan yang dirancang sehingga tahun 2025 ialah lima fasa.

“Satu kajian sederhana dijadualkan pada tahun 2025 untuk menilai pelaksanaan lepas dan membuat penambahbaikan kepada fasa seterusnya.

“Dengan penyelesaian keseluruhan projek sehingga fasa lima pada 2025 nanti, hasil yang dijangka adalah sebanyak RM2 juta,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/1/2024

- Advertisement -