Dr Halim komited selesai masalah rakyat Paya Jaras

- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Ahli Dewan Negeri (AND) Paya Jaras, Dato’ Dr. Abdul Halim Tamuri komited dan akan meneruskan usaha membantu rakyat kawasan itu terutama dalam menyelesaikan masalah rakyat.

- Advertisement -

Menurut beliau, antara masalah yang dibangkitkan oleh penduduk Fasa 3, Bandar Baru Sungai Buloh adalah rumput yang panjang kerana sudah lama tidak dipotong.

Katanya terdapat juga enam tunggul kayu besar terbiar yang berisiko menjadi tempat pembiakan ular dan haiwan berbisa.

Selain itu, kata beliau ada banyak longgokan sampah sisa makanan dan longgokan pokok serta dahan mati yang tidak dikutip oleh pihak bertanggungjawab.

Menurut beliau, pokok-pokok tua yang tidak dicantas berisiko untuk tumbang atau patah jika angin kuat boleh menyebabkan kemalangan kepada penduduk setempat.

Beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Penduduk Fasa 3, Rosli serta beberapa orang penduduk untuk meninjau kawasan taman rekreasi.

Katanya, isu gelanggang futsal dan takraw yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ianya rosak dan membahayakan pengguna gelanggang tersebut.

“Di taman rekreasi ini juga terdapat wayar elektrik yang terbuka dan sangat berisiko meragut nyawa jika dipegang. Ini bukan isu kecil.

“Pihak Pejabat Khidmat ADN Paya Jaras akan cuba mengusahakan penyelesaian yang terbaik untuk isu ini,” ujarnya.

Dalam pertemuan bersama penduduk, beliau difahamkan bahawa pihak Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) tidak melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Semua isu ini akan dimajukan kepada pihak yang bertanggungjawab. Semoga isu ini dapat segera ditangani oleh pihak berwajib untuk keselesaan penduduk setempat.

“Saya bersama Majlis Permuafakatan Penduduk Saujana Utama (MPPSU) dan Persatuan Penduduk Saujana Utama 3 (PPSU3) meninjau laluan trafik di SMK Saujana Utama 2 yang akan dibuka bermula Mac 2024 ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/1/2024

- Advertisement -