ALOR SETAR: PAS Relief (Kedah) memerlukan sumbangan serta bantuan orang ramai untuk menjaya misi bantuan banjir ke selatan Thailand.
Koordinatornya, Ustaz Mohd Rosli Azmi berkata, misi pertama akan bermula pada 17 hingga 19 Januari ini.
“Ketika ini PAS Relief Kedah sedang mengumpul keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di sana, antaranya, kain pelikat, kain batik, telekung dan lain-lain keperluan penting,” ujarnya di sini, semalam.
Dalam pada itu pihaknya akan berusaha membawa seberapa banyak barangan sumbangan untuk membantu mangsa yang terjejas di mana kebanyakannya beragama Islam.
Jelas Rosli lagi, PAS Relief Kedah juga akan menyusul untuk misi kedua pada 19 hingga 21 Januari akan datang sebaik sahaja misi bantuan pertama tamat.
Oleh demikian, orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus ke nombor akaun 552170001133 (MayBank) Majlis Tindakan Bencana Alam BPPNK.
Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi beliau ditalian 011-1070 6247.
“Insya-Allah usaha membantu mereka ini adalah sangat besar manfaatnya. Semoga menjadi asbab mendapat rahmat dari Allah SWT,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/1/2024