Perlis benarkan program hiburan dengan syarat

Asrul Aimran Abd Jalil
- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan negeri membenarkan semula acara hiburan bermula Februari ini setelah ia dibekukan berikutan tanda solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin yang dibantai kejam rejim Zionis Israel.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, sungguhpun begitu acara hiburan tersebut perlulah mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Mufti negeri.

Katanya lagi, larangan yang berkuatkuasa sehingga Januari sebelum ini selaras dengan usul Dewan Undangan Negeri (DUN) yang melibatkan kutukan terhadap serangan rejim Israel ke atas penduduk Palestin.

“Setiap kelulusan sebelum ini diberikan berdasarkan permohonan penganjur, namun larangan terhadap jenis tertentu seperti ‘live band’ dikenakan sehingga Januari.

Larangan itu jelas beliau juga termasuk kepada program sambutan ambang tahun baharu yang mengambil kira pendirian kerajaan negeri terhadap serangan tidak berperikemanusiaan rejim zionis Israel di Palestin.

Terdahulu, Majlis Fatwa negeri telah mengeluarkan garis panduan sejak 2016, menekankan agar acara hiburan tidak mengandungi unsur bertentangan dengan syarak dan tidak mendorong kepada kelakuan melampau yang merendahkan akhlak insani.

Asrul turut menegaskan bahawa larangan sebelumnya hanya melibatkan permohonan untuk program-program berbentuk awam dan tidak termasuk aktiviti seperti kedai makan, kenduri, pemuzik jalanan atau busker.

Dalam pada itu tambahnya, masyarakat bukan Islam masih dibenarkan untuk menjalankan acara hiburan seperti biasa tanpa sebarang halangan.

“Persembahan seperti teater juga boleh dianjurkan seperti biasa namun perlu mematuhi garis panduan berkenaan,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

- Advertisement -