Pendekatan PAS bukan bermusim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata PAS mendidik ahli-ahlinya untuk sama-sama mengejar dan melakukan kebaikan mengikut kapasiti kemampuan masing-masing.

- Advertisement -

Katanya, kebajikan bukan hanya pada sedekah harta benda malahan mempunyai maksud yang luas, sedekah dari sudut ilmu kepakaran, khidmat tenaga dan juga nasihat yang baik sama ada secara lisan atau penulisan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pemukiman Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSPP), baru-baru ini.

Seramai 60 orang peserta daripada Lajnah Kebajikan menyertai pemukiman tersebut.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, PAS bukan parti lima tahun sekali dalam bergerak melakukan kebajikan.

Katanya, ahli PAS dididik melakukan kebajikan mengikut kapasiti dan kemampuan yang ada.

“Bermula tahun 1990, PAS berubah menjadi parti inklusif dengan memasyarakatkan PAS. Seiring itu, nama kemasyarakatan berubah kepada keprihatinan sosial sesuai dengan masalah sosial masa kini,” katanya.

Pemukiman itu diserikan dengan pelancaran Projek Rumah Budi untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan bagi menyediakan rumah yang selesa.

Dalam pada itu, Pengerusi LKKSPP, Dr Rosni Adam berharap LKKS negeri dan kawasan terus bersemangat dan istiqamah dalam gerak kerja yang telah diamanahkan. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

- Advertisement -