Kegagalan Israel dalam perang di Gaza didedah terperinci

- Advertisement -

KETUA Biro Politik HAMAS, Syeikh Ismail Haniyeh telah diberi penghormatan menyampaikan pidato bersempena Muktamar Kesatuan Ulamak Islam Sedunia yang berlangsung di Doha, Qatar, semalam.

Menerusi ucapan lebih 40 minit itu, beliau mendedahkan, setelah hampir 100 hari Zionis-Israel mengganyang Gaza, mereka masih gagal mencapai walau satu objektif yang disasarkan.

- Advertisement -

Dalam peperangan kali ini Israel meletakkan tiga sasaran dan objektif utama:
Pertama, menghapuskan kumpulan pejuang Palestin. 
Kedua, membebaskan semua tahanan Israel yang ditawan pejuang. 
Ketiga, menghalau penduduk Gaza ke wilayah dalam negara Mesir.

Untuk mencapai tiga objektif berkenaan, mereka telah merencanakan empat peringkat serangan:
Pertama, serangan udara. 
● Kedua, serangan darat. 
Ketiga, operasi berpusat menentang kumpulan pejuang. 
Keempat, usaha politik. 

Sehingga kini tidak ada satu pun objektif yang berjaya dicapai oleh Israel. 

Objektif hendak menghapuskan kumpulan pejuang gagal sama sekali. Bukan sahaja gagal dihapuskan, bahkan HAMAS semakin kuat dan aktif. HAMAS kini berada dalam keadaan paling kuat untuk berhadapan dengan serangan penjajah.

Menurutnya setiap hari kita mendengar berita kemusnahan dan kematian tentera Israel. Hakikatnya, angka sebenar adalah jauh lebih besar dari yang disiarkan oleh media. 

“Semalam kita mendengar kenyataan dari pihak rejim Zionis bahawa mereka kini sedang berada dalam keadaan paling getir sepanjang serangan hampir 100 hari terhadap Gaza,” ujar Ismail.

Rakaman video mengenai serangan Al Qassam terhadap tentera Israel juga sangat terhad. Bukan semua serangan dibuat rakaman. 

Mereka cuba hendak membunuh HAMAS. Namun Allah bukan hanya selamatkan HAMAS, bahkan ‘HAMAS’ kini masuk ke dalam rumah setiap orang Islam di seluruh dunia. 

Semua orang Islam dan juga bukan-Islam melaungkan sokongan kepada HAMAS dan kepada perjuangan umat Islam Palestin.

Objektif kedua mereka untuk membebaskan tawanan Israel di tangan pejuang juga gagal.

“Mereka menggunakan teknologi dan pesawat peninjau dari Barat untuk mengesan tempat persembunyian tawanan. Namun sehingga hari ini, mereka belum berjaya menemui dan membebaskan walau seorang tawanan, selain dari yang dibebaskan sendiri oleh pejuang dalam operasi pertukaran tawanan November lalu,” maklumnya.

HAMAS bersama kumpulan-kumpulan pejuang yang lain menghargai peranan Mesir, Qatar dan beberapa negara lain yang menjadi pengantara dengan Israel dalam usaha mereka untuk membebaskan tawanan.

Namun di pihak Palestin, menyatakan dengan tegas bahawa tidak ada seorangpun tawanan akan dibebaskan sekiranya rejim Zionis tidak membebaskan semua tahanan Palestin yang sedang dikurung secara zalim di penjara-penjara Israel.

Objektif ketiga mereka untuk menghalau rakyat Gaza ke Semenanjung Sinai juga tidak berjaya walaupun serangan mereka sangat dahsyat. 

Israel telah menggunakan 70,000 tan bahan letupan untuk merobohkan rumah kediaman rakyat Palestin di Gaza yang hanya berkeluasan 365 kilometer persegi.

Sebanyak 450 keluarga juga dibunuh kesemua ahli keluarga mereka. Hinggakan ada serangan terhadap sebuah keluarga menyebabkan kematian 192 orang dari satu keluarga itu sahaja.

Tiba-tiba baki ahli keluarga yang masih hidup, keluar dari celah-celah runtuhan rumah dan mengumumkan bahawa kami akan terus kekal di bumi Gaza. Ahli keluarga kami yang terbunuh adalah satu pengorbanan untuk bumi Palestin.

Suatu yang ajaib, orang di dalam Gaza tidak keluar. Sebaliknya orang Palestin yang tinggal di luar ramai yang berusaha dan berjaya pulang ke Gaza untuk mempertahankan tanah air mereka. Demikianlah hebatnya ketegasan dan pendirian mereka.

Di akhir ucapannya Syeikh Ismail turut menyeru umat Islam, khususnya pihak pemerintah kerajaan-kerajaan umat Islam agar berjihad membantu perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa ini dengan jihad harta dan jihad bersenjata. 

Beliau turut meminta jasa baik Kesatuan Ulamak Islam Sedunia agar mengadakan kunjungan hormat menemui pemimpin-pemimpin negara umat Islam untuk meminta mereka memainkan peranan lebih aktif dalam membantu Palestin. 

ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 10/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -