Kedai milik Muslim sahaja tutup dua jam hari Jumaat

Rosli Latif
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Penutupan operasi perniagaan pada hari Jumaat selama dua jam bermula 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang hanya untuk restoran, kedai makanan atau gerai makan Muslim sahaja.

- Advertisement -

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rosli Latif penutupan premis berkenaan akan mula berkuatkuasa 12 Januari ini dan dilaksanakan pada setiap Jumaat.

“Susulan penyebaran notis penutupan operasi perniagaan yang tular sebelum ini yang menimbulkan salah faham, kami ingin menjelaskan bahawa hanya penutupan melibatkan semua pasar raya dan kedai makanan atau gerai milik orang Islam sahaja.

“Kedai makan milik orang bukan Islam boleh beroperasi seperti biasa kecuali jika kedai itu mempunyai pekerja Islam.

“Kedai itu perlu ditutup dan membenarkan pekerja Islam pergi menunaikan solat Jumaat,” katanya pada sidang media khas di bilik mesyuarat Menara MBKT di sini, hari ini.

Sementara itu, Rosli berkata, bagi kedai makan yang diuruskan pekerja wanita boleh beroperasi pada tempoh itu, namun perlu mengemukakan permohonan khas kepada MBKT bagi mendapat kelulusan.

“Kena ada kelulusan khas dan kita akan buat pemantauan. Mereka kena buat aku janji dengan syarat-syarat lesen dikeluarkan.

“Kedai makan itu boleh beroperasi cuma kena ada kebenaran khas daripada MBKT,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebarang ketidakpatuhan kepada pengenaan syarat-syarat ini membolehkan premis perniagaan boleh dikompaun sehingga RM1,000 atau dibatalkan lesen perniagaan dengan merujuk kepada Undang-Undang Kecil berkaitan diguna oleh MBKT. – HARAKAHDAILY 10/1/2024

- Advertisement -