UMK tawar program ijazah teknologi tenaga

- Advertisement -

JELI: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) akan menawarkan program baharu Ijazah Sarjana Muda dalam bidang teknologi tenaga.

- Advertisement -

Timbalan Dekan Akademik (FBKT), Ts Dr Ainihayati Abdul Rahim berkata, penawaran program baharu itu dijangka bermula pada semester September Sesi 2024/2025.

Katanya, program itu dijalankan dengan mod pengajian secara kerja kursus dan industri serta tempoh pengajian tiga tahun enam bulan.

“Pihak Fakulti juga dalam perancangan untuk menawarkan Kursus Energy Literacy sebagai elektif bebas yang akan ditawarkan kepada pelajar FBKT dan merentasi fakulti.

“UMK merupakan universiti awam pertama di Kelantan menawarkan program tersebut khususnya berkaitan peralihan tenaga, kecekapan tenaga, literasi pengguna dan keselamatan,” katanya ketika merasmi Seminar Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) 2024 di sini.

Program anjuran FBKT diadakan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Utama, UMK Kampus Jeli.

Seminar berkenaan dihadiri 200 pelajar FBKT dan Fakulti Sains BUMI (FSB) diadakan sempena Technoinnovation Expo 2024 (TIE 2024).

Turut hadir Pengurus Besar TNB Kelantan, Muhammad Azli Ab Rahim; Pengurus Stesen Janakuasa Pergau Jeli Ir Ts Mohd Nasron Embong; wakil Ketua Retail TNB Kelantan Muhammad Haslan Ismail dan Penyelaras Program Teknologi Tenaga, Dr Nik Nurul Anis Nik Yussof.

Dr Ainihayati juga berkata, penawaran program baharu dapat membantu peningkatan penyelidikan dan pembangunan mengenai peralihan tenaga dengan paparan peralihan tenaga dan hala tuju kelestarian, kecekapan tenaga serta tenaga boleh diperbaharui.

Di samping itu pengunaan ekosistem kenderaan elektrik dan peralihan tenaga tersebut akan memesatkan lagi tranformasi digital untuk menerapkan gaya hidup mampan serta pintar.

Beliau juga berkata, FBKT akan menjadi hub rujukan utama dalam bidang teknologi tenaga memadangkan program itu memfokus kepada pengurusan tenaga, TBB dan teknologi penukaran tenaga berteras teknopreneur untuk penjanaan ekonomi negara. – HARAKAHDAILY 9/1/2024

- Advertisement -