Tutup premis niaga dua jam setiap Jumaat

Wan Sukairi Wan Abdullah
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Semua peniaga dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) diharap mematuhi arahan menutup premis selama dua jam pada hari Jumaat.

- Advertisement -

Terdahulu, MBKT dalam satu kenyataan mengarahkan semua premis perniagaan menutup operasi dari jam 12.30 tengah hari hingga jam 2.30 petang pada setiap Jumaat.

Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mengingatkan para peniaga agar tidak sama sekali bertindak melanggar peraturan berkenaan.

“Peraturan ini kita buat untuk memberi peluang kepada semua umat Islam dapat menunaikan ibadah solat Jumaat yang difardukan ke atas mereka.

“Manakala kepada yang bukan Islam mereka boleh gunakan peluang itu untuk berehat atau kemas barang dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah sembahyang fardu Jumaat secara berjemaah.

Adun Wakaf Mempelam ini berkata, arahan penutupan premis perniagaan pada setiap Jumaat bukan isu baharu tetapi pada sesi kali ini arahan itu diperbaharui semula.

Beliau menegaskan sekiranya peniaga tidak mematuhi atau ingkar arahan dengan bertindak membuka premis maka pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap peniaga tersebut. – HARAKAHDAILY 9/1/2024

- Advertisement -