Mubaligh larang majlis khatam al-Quran di sekolah?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Khatam Al-Quran di Sekolah Kebangsaan St Thomas, Kuching yang dijadualkan pada 3 Februari depan telah berdepan larang penganjurannya dengan dinyatakan sebagai tidak dibenarkan.

Isu tersebut menjadi kontroversi berikutan tular di media sosial larangan itu menggunakan surat Diocese of Kuching yang ditandatangani Pegawai Pendidikan Diocesan, Pendeta Robij Sabai.

- Advertisement -

“Kami berasa sangat tidak selesa dan bertentangan dengan jangkaan kami untuk mengadakan program seperti ini di premis sekolah mubaligh kami,” ujarnya dalam surat kepada Guru Besar sekolah tersebut.

Presiden Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM), Firdaus Wong Wai Hung sehubungan itu meminta pihak yang didakwa tampil memberi penjelasan dan pengesahan serta mengesahkan ketulenan surat tular tersebut.

“Program khatam al-Quran tidak dibenarkan di sekolah missionari? Adakah surat ini tulen? Ada sesiapa dari sekolah tersebut boleh mengesahkan?” soal pendakwah berketurunan Tionghua itu di laman media sosialnya.

Firdaus bagaimanapun berkata, beliau akan menghormati keputusan larangan tersebut hanya sekiranya ia merupakan peraturan yang sudah sedia termaktub sebagai undang-undang di Bumi Kenyalang.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan dalam pada itu menuntut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyiasat dakwaan larangan yang disifatkannya tidak wajar itu.

Menurut beliau, sekiranya premis Sekolah Kebangsaan (SK) itu tertakluk di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), maka murid beragama Islam berhak menganjur majlis khatam al-Quran tersebut.

“Apatah lagi, aktiviti majlis khatam al-Quran adalah sebahagian daripada aktiviti panitia untuk mengukuhkan penguasaan al-Quran kepada murid sebelum mereka meneruskan ke peringkat menengah.

“Akta Pendidikan 1996 mewajibkan pengajaran subjek Pendidikan Islam jika ada lima murid (beragama Islam) di institusi pendidikan di bawah KPM. Maka tak timbul soal majlis khatam ini menimbulkan kontroversi dan ancaman kepada agama lain.

“Jika larangan itu tertakluk kepada undang-undang kerajaan negeri, maka wajar satu pendekatan yang lebih harmoni dan penuh hikmah boleh diambil bagi merungkai isu ini,” ujarnya disiarkan laman rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) hari ini.

Beliau juga berharap, sekiranya benar berlakunya larangan itu, maka semua pihak diminta menghormati Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurut Azizee, beliau difahamkan Majlis Khatam Al-Quran itu pernah dilaksanakan di sekolah sama beberapa tahun lalu dan tidak menjadi masalah, bahkan ada sekolah-sekolah mubaligh mengadakan majlis seumpama.

“Saya gesa semua pihak usah menimbulkan isu-isu sensitif dan kontroversi sebagaimana isu Hadis 40 sebelum ini. Semua pihak perlu mengikut garis panduan dan peraturan bagi mengelak perkara (kontroversi) seperti ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/1/2024

- Advertisement -