Tuduhan rasuah KFA: Sanusi sedia bongkar plot sebenar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menganggap tuduhan rasuah yang dilemparkan ke atas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berserta beberapa individu lain sebagai fitnah.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama Presiden KFA itu bersedia untuk membongkar plot sebenar yang berlaku dalam pelbagai isu termasuk insiden berkenaan.

Semalam, CEO KFA dan tiga individu lain termasuk dua perunding berusia antara 40 hingga 60 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai RM6 juta.

Wang rasuah tersebut dipercayai sebagai balasan bagi membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di Kedah.

“Mereka yang ditahan itu semuanya bukan orang kaya. Ada yang nak isi minyak kereta pun tak mampu.

“Ada juga yang sudah diberhentikan kerja dan sedang berusaha pelbagai kerja untuk penampung kehidupan.

“Kalau mereka dapat habuan RM6 juta, depa tak semiskin macam itu,” tegas Sanusi, di sini.

Katanya lagi, beliau tidak menafikan ada pihak yang iri hati terhadap pencapaian KFA.

Tambahnya lagi ketika KFA ‘nazak’ menanggung bebanan hutang dan tunggakan gaji pemain bola sepak, tiada siapa yang peduli, tetapi apabila hutang KFA berjaya diselesaikan sedikit demi sedikit, ada yang iri hati dan dengki.

“Sumbangan yang KFA terima tiada kaitan atau bersubahat dengan rasuah kerana ia tidak mempunyai akses kepada projek yang memerlukan kelulusan kerajaan persekutuan.

“Malah KFA ditubuhkan untuk membiayai pasukan bola sepak, beroperasi melalui sumbangan serta derma dan bukan syarikat perniagaan berasas keuntungan,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut ujarnya, KFA juga tiada akses kepada projek yang dibuat secara tender terbuka serta tidak terlibat dalam projek litar.

Dalam pada itu, tender loji air dibuat secara terbuka serta diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan perlu mendapat kelulusan kerajaan persekutuan.

“Dasar itu dibuat pada waktu Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selama 22 bulan. Tak ada campur tangan dan tak ada jalan untuk campurtangan dalam urusan tender terbuka.

“Tetapi ketika tender projek itu dibuka, harga bahan binaan masih rendah, namun selepas tender selesai diserahkan, harga barang melambung tinggi.

“Masuk akalkah ada syarikat nak sumbang RM6 juta dalam keadaan tenat menghadapi kenaikan harga bahan binaan?” soalnya.

Justeru katanya, apa yang berlaku ketika ini adalah kezaliman pihak tertentu yang menggunakan agensi kerajaan untuk tujuan politik dan kepuasan peribadi. – HARAKAHDAILY 6/1/2024

- Advertisement -