Adun Jengka, JAIP bekerjasama tangani kegiatan maksiat

Ustaz Shahril Azman Abd Halim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) perlu memantau kawasan di bandar Jengka khususnya sekitar sebuah pasar raya yang dijadikan lokasi maksiat.

- Advertisement -

Adun Jengka, Ustaz Shahril Azman Abd Halim ketika dihubungi memaklumkan telah melaporkan perkara tersebut kepada pihak JAIP dan akan bekerjasama dengan jabatan itu.

“Insya-Allah sekiranya berkelapangan kami boleh ikut serta turun ke lapangan bersama pihak JAIP,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau segera turun memantau ke kawasan berkenaan setelah mendapat maklum dalam media sosial mengenai aktiviti khalwat pada waktu malam di sekitar belakang pasar raya itu.

Sebelum itu dalam satu hantaran di Facebook miliknya, beliau telah menerima aduan kegiatan maksiat pasangan perempuan dan lelaki berdua-duan di waktu malam.

Beliau berharap umat Islam tidak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT dan mencegah perbuatan mungkar itu.

Katanya mencegah adalah tanggungjawab setiap muslim jadi kepada masyarakat di luar kalau ada kes khalwat terus buat laporan ke Jabatan Agama Islam Jengka kerana mereka ada badan penguatkuasa.

“Mereka akan datang bersama dengan polis untuk membuat serbuan dan penangkapan.

“Jengka sejahtera bagi umat Islam secara khususnya, insya-Allah sama-sama kita bekerja untuk membasmi maksiat ini, masyarakat pun ada peranannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/1/2024

- Advertisement -