Pimpinan PAS terima darjah kebesaran daripada Agong

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pujian dan syukur kepada Allah SWT dan merafak sembah junjungan terima kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di atas pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada beberapa pemimpin PAS.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan mengurniakan penganugerahan Pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) pada 4 Jan 2024 di Istana Negara kepada Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr. Rosni Adam; Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr. Najihatussalehah Ahmad; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Ustaz Dr. Riduan Mohamad Nor.  

- Advertisement -

Terdahulu, Agong telah mengurniakan Johan Mangku Negara (JMN) kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh pada 28 Dis lalu.

Turut menerima kurniaan pada hari tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Al Fadhil Ustaz Azhar Yahya; Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil;  dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Haji Mohd Misbahul Munir Masduki yang menerima penganugerahan Pingat Kesatria Mangku Negara (KMN).

Selain itu, turut menerima penganugerahan penganugerahan Pingat daripada YDPA ialah  Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit yang menerima anugerah Johan Setia Mahkota (JSM).

Ketika dihubungi HarakahDaily, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Al Fadhil Ustaz Azhar Yahya berkata, ini merupakan kali pertama beliau menerima penganugerahan daripada YDPA.

“Alhamdulillah, segala puji kehadrat Allah SWT di atas kurniaan yang diperoleh ini.

“Setiap anugerah adalah satu kegembiraan. Kegembiraan yang dipanjatkan kesyukurannya kepada Allah SWT. 

“Kegembiraan yang meningkatkan semangat untuk terus menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara,” kongsinya. 

Sementara Dr. Najihatussalehah pula meluahkan rasa terharu di atas kurniaan yang dianugerahkan kepadanya.

“Saya rasa terharu dan berterima kasih kepada YDPA atas kurniaan ini dan rasa terus termotivasi untuk terus memberikan sumbangan masa, tenaga dan kerja khas untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/1/2024

- Advertisement -