Propaganda jauhkan masyarakat daripada ulamak pewaris Nabi

- Advertisement -

DARIPADA Abi Ad-Darda’ R.A berkata, aku mendengar Nabi S.A.W bersabda:

- Advertisement -

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.

“Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian (keuntungan) yang banyak.”

[Riwayat Abu Daud (3641)][Syeikh al-Arna’out menghukum Hadis ini sebagai Hasan dengan syawahidnya]

Perutusan Nabi Muhammad S.A.W merupakan penutup kepada Nabi dan Rasul, yakni tiada lagi Nabi atau Rasul baharu yang akan dibangkitkan oleh Allah S.W.T. Namun seruan, ajaran dan syariat Nabi Muhammad S.A.W akan terus kekal sehingga hari kiamat.

Dalam meneruskan gerak kerja dakwah Rasulullah S.A.W ini, Allah S.W.T telah melantik para ulamak sebagai pewaris para Nabi dan Rasul. Ini memberi erti para ulamak mewarisi sebahagian ilmu dan tugasan para Nabi dan Rasul.

Tanggungjawab dakwah yang dipikul oleh para Ulamak ini merupakan tugasan yang paling berat dan mencabar di mana mereka perlu berusaha membina dan menanamkan kefahaman yang benar (Islam) di dalam hati manusia.

Tidak dapat dinafikan terdapat juga kalangan mereka yang berilmu melakukan kesilapan dan kecuaian lantaran sifat kemanusiaan dan tiada kemaksuman pada para ulamak, namun pengiktirafan besar telah diberikan oleh Allah S.W.T terhadap para ulamak. 

Firman Allah S.W.T:

 وَمِنَ النَّاسِ وَالدَّوَاۤبِّ وَالْاَنْعَامِ مُخْتَلِفٌ اَلْوَانُهٗ كَذٰلِكَۗ اِنَّمَا يَخْشَى اللّٰهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمٰۤؤُاۗ اِنَّ اللّٰهَ عَزِيْزٌ غَفُوْرٌ. 

“Dan demikian (pula) di antara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa dan binatang ternakan ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Begitulah demikian, di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Pengampun.”

(Faatir: 28)

Namun ada pihak yang menyedari kekuatan umat Islam akan terus teguh apabila para ulamak dan umarak (pemimpin) bekerjasama. Lalu diwujudkan propaganda kononnya politik (siyasah) adalah kotor dan para ulamak tidak sepatutnya mencampuri politik kerana ditakuti terpalit dengan kotoran tersebut. Sedangkan Rasulullah S.A.W adalah seorang Rasul juga memberikan panduan dan tunjuk ajar berpolitik bahkan Baginda terlibat sebagai penguasa tertinggi di dalam pemerintahan Islam di Madinah. Begitu juga khulafa’ Ar-Rasyidin yang merupakan ulamak dari kalangan Sahabat Rasulullah S.A.W.

Usaha untuk menjauhkan masyarakat daripada ulamak tidak terhenti di situ bahkan lebih dahsyat lagi fitnah dan adu domba dilemparkan kepada alim ulamak kononnya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau dituduh sebagai penunggang agama. Sedangkan para ulamak berijtihad menggunakan Nas Al-Qur’an dan As-Sunnah yang menunjukkan Islam sentiasa dinamik dalam menjaga kemaslahatan ummah dan kesucian akidah mengikut peredaran zaman.

Agenda-agenda ini adalah sebahagian daripada modus operandi untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam agar paksi kekuatan mereka mula luntur.

Justeru dalam menghadapi cabaran dan ancaman seumpama ini umat Islam perlulah terus mendalami ajaran Islam dengan mendekati para alim ulamak dan mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan ideologi dan isme yang merosakkan.

Umat Islam juga perlu menyertai program yang boleh memberikan kesedaran dan menjauhkan diri daripada terjebak dengan aktiviti yang melanggar batas syarak. Perkukuhkan jati diri dan jalinan ke arah mewujudkan kesatuan dan muafakat ummah yang menyeluruh.

“Istiqamah Berprinsip”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Negeri Johor
21 Jamadil Akhir 1445
3 Januari 2024 – HARAKAHDAILY 3/1/2024  

- Advertisement -