Pemuda PAS sertai Sidang Antarabangsa di Pakistan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menyertai Persidangan Pemuda Antarabangsa anjuran Jamiat e-Talaba yang berlangsung di Karachi, Pakistan pada 29 dan 30 Disember baru-baru ini.

Delegasi diwakili Pengarah Jabatan Pembangunan Mahasiswa, Mohd Imran Md Ishak dan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa, Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim. 

Turut serta adalah Ahli Jawatankuasa Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa, Dr. Bazli Md Yusoff pada Persidangan yang dikendalikan bersama Persekutuan Pertubuhan Pelajar Islam Antarabangsa (IIFSO).

Para peserta dalam persidangan selama dua hari tersebut telah mengikuti pembentangan disampaikan Ahli Majlis Eksekutif Kesatuan Ulama Palestin, Dr Ibrahim Muhanna membicarakan tajuk ‘Islam dan Krisis Dunia Moden’. 

Juga dari bekas Presiden Jamaat Islami Lubnan, Dr Azzam Ayubi bertajuk ‘Masa Depan Politik Islam Dalam Dunia Islam’, selain pembentangan dari pensyarah Hubungan Antarabangsa, Universiti Qatar, Dr Muhammad Mukhtar Al-Shanqiti.

Pembentang lain adalah Amir Jamaat Islami Kashmir, Dr Mushtaq Ahmad, manakala dalam Forum Al-Quds empat panelis ditampilkan dengan masing-masing berkomentar memberi dukungan kepada Palestin.

Mereka ialah pemimpin HAMAS, Dr Khalid Qaddumi dan Pengarah Hubungan Antarabangsa Jamaat Islami Pakistan, Asif Luqman Qazi serta Naib Ketua Pemuda HAMAS, Dr Ashraf Awad dan Setiausaha Agung IIFSO, Dr Faisal Mustafa Pervaiz.

Para panelis antara lain sepakat untuk meneruskan kempen boikot produk sebagai salah satu senjata ampuh yang kini turut didukung masyarakat bukan-Muslim bagi melemahkan kekuatan Israel.

Mohd Imran turut diberikan peluang menyampaikan ucapan di majlis perasmian penutup di hari akhir persidangan yang disempurnakan sendiri oleh Amir Jamaat Islami Pakistan, Syeikh Sirajul Haq.  

Presiden Jamiat e-Talaba, Shakeel Ahmed sebagai mewakili sayap kemahasiswaan Jamiat Islami Pakistan iaitu gerakan Islam terbesar di negara itu begitu menghargai penyertaan perwakilan dari 30 pertubuhan negara Islam.

Malah, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sangat tidak asing bagi Jamiat Islami yang diasaskan oleh Syeikh Abul A’ala Al-Maududi di mana mantan Amir Jamaat Islami, Almarhum Qazi Hussin Ahmed merupakan rakan karib beliau. – HARAKAHDAILY 3/1/2024  

- Advertisement -
- Advertisement -