300 pelajar pelbagai kaum terima peralatan sekolah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 80 pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum menerima peralatan sekolah disumbang kerajaan negeri.

- Advertisement -

Sumbangan berkenaan berupa beg sekolah, alat tulis dan wang tunai RM50 kepada setiap pelajar disampaikan Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) sempena Program Kembali Ke Sekolah.

Peralatan sekolah tersebut disampaikan kepada 80 pelajar sekolah rendah di Pusat Komuniti DHPP Kota Bharu, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Kaum Zamakhshari Muhamad berkata, barangan tersebut turut diagih kepada wakil penghulu di 15 Kampung Baharu Rangkaian di seluruh Kelantan.

Katanya sumbangan berkenaan untuk disampaikan kepada pelajar yang tidak berkemampuan melibatkan jumlah keseluruhan 300 penerima.

“Kelantan melalui dasar Membangun Bersama Islam (MBI) sentiasa menitik berat kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Tahniah kepada pihak penganjur kerana menjayakan program tersebut dan kita berharap ia menjadi agenda tahunan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Pengerusi PEKA Lim Guang Seng berkata, kerajaan negeri tidak pernah berhenti menyalurkan sumbangan kepada rakyat tanpa mengira kaum.

“Terima kasih banyak kepada pimpinan kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan program kebajikan kepada rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/1/2024

- Advertisement -