Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa sepanjang 2023

- Advertisement -

PEPERANGAN berlangsung di Gaza. Namun Tebing Barat tidak sunyi dari kekejaman rejim Zionis. Baitul Maqdis terletak di Tebing Barat. 

Pusat Penerangan Palestin melaporkan, sepanjang tahun 2023, seramai 51 orang terkorban di tangan penjajah Zionis di Baitul Maqdis. 20 daripada mereka adalah kanak-kanak.

Seramai 13 orang warga Baitul Maqdis turut terkorban dalam peperangan di Gaza. Manakala 7 orang dari daerah lain di Palestin terbunuh syahid di Baitul Maqdis. 

Dalam tempoh setahun ini, rejim Zionis melakukan 224 pencerobohan dan serangan ke atas orang awam yang mengakibatkan 543 rekod kecederaan.

Seramai 3,081 orang ditangkap. 318 daripadanya adalah kanak-kanak. 135 orang wanita. 

Sebahagian mereka dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai pertuduhan yang tidak munasabah. 330 orang dijatuhkan hukum penjara. 153 diletakkan di bawah pengawasan. 316 orang dikenakan sekatan dan tahanan di rumah. 740 orang dibuang daerah, termasuk 561 orang dijatuhkan hukuman tidak boleh masuk ke Masjidil Aqsa. 

Bersempena gencatan senjata sementara pada November 2023, seramai 79 orang Baitul Maqdis dibebaskan. 24 orang wanita dan 55 kanak-kanak. 

Tahun 2023 juga menyaksikan 316 buah rumah dirobohkan oleh rejim. Manakala 263 premis lagi telah menerima notis untuk dirobohkan. Dalam masa yang sama pihak berkuasa penjajah meluluskan 29 projek penempatan baru untuk kaum Yahudi di Baitul Maqdis. 

Sepanjang tahun ini juga pihak rejim telah memberi laluan kepada lebih 50,000 kaum Yahudi untuk menceroboh masuk ke kawasan Masjidil Aqsa dan melakukan rutin amalan agama mereka. 

Tahun 2022 dan 2023 menyaksikan peningkatan mendadak penceroboh Yahudi di Masjidil Aqsa melepasi angka 50,000 orang. Tahun 2021 hanya 38,000 dan tahun 2020 18,000 orang. 

Kebiasaannya kebenaran ini diberikan bersempena perayaan-perayaan yang disambut oleh mereka. Terdapat 10 perayaan yang mendorong mereka menceroboh Masjidil Aqsa. Pada tahun 2023, perayaan yang paling ramai disertai penceroboh ialah perayaan sukkot yang dihadiri oleh 5,729 orang, perayaan pesach (3,430) dan perayaan memperingati runtuhnya Haikal Sulaiman (2,180). 

Mereka bukan sahaja diberi kebenaran masuk, bahkan diiringi dan diberi kawalan istimewa oleh pihak tentera. 

Sepanjang peperangan Tufan Al Aqsa pihak tentera mengawal ketat Masjidil Aqsa dan tidak membenarkan masuk melainkan mereka yang telah berusia. Pada hari Jumaat terakhir 2023, puluhan ribu umat Islam mengerjakan solat Subuh di pintu masuk ke Masjidil Aqsa apabila mereka dihalang dari memasukinya. Suasana ini telah berlangsung selama dua belas minggu berturut-turut.

Ketika hendak mendirikan solat Jumaat pula, hanya mereka yang berusia 50 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk. Manakala tentera Yahudi bebas berlegar dalam kawasan masjid. 

Mereka yang mendirikan solat di luar juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan dan sekatan dari tentera penjajah. 

ARIS HAZLAN ISMAIL – HARAKAHDAILY 2/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -