DAP konsisten campur urusan umat Islam

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: DAP sekali lagi menunjukkan taring dalam kerajaan PH-BN apabila mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti urusan agama Islam.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hakikat itu dilihat daripada kenyataan Ex Officio Jawatankuasa DAP Pusat yang juga Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham.

“Beliau telah mencadangkan penglibatan orang bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam baru-baru ini.

“Walaupun Koo Ham telah menyatakan maaf dan YB Anthony Loke, Setiausaha Agung DAP mengatakan kenyataan Ngeh Koo Ham ini adalah kenyataan peribadi, rakyat telah mengenali sikap DAP yang tidak pernah diam menyentuh dan mencampuri urusan umat Islam,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini.

Walhal, ujar beliau tidak sepatutnya kenyataan sensitif seperti itu dikeluarkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa DAP Pusat.

Tambahnya, perlu diingat, Ngeh Koo Ham juga pernah bercakap dalam Parlimen tahun ini berkenaan perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara.

“Lebih celupar lagi, beliau juga pernah menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada tahun 2014 lalu,” katanya.

Justeru, beliau melahirkan kebimbangan dengan kenyataan-kenyataan seperti itu yang seolah-olah mendapat restu mereka yang berkehendakkan kelangsungan kuasa.

PAS, tegasnya mendukung penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bahawa orang bukan Islam tidak mencampuri hal ehwal umat Islam.

Katanya, PMX perlu lebih tegas untuk menegur DAP supaya menghentikan terus tindakan mereka dalam hal ini.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sepatutnya bagi memadamkan persepsi rakyat bahawa isu 3R ini hanya terpakai kepada Perikatan Nasional sahaja.

“Namun, sekiranya melibatkan PH-BN-DAP disenyapkan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

PAS, ujar beliau terus menyeru agar umat Islam dan Melayu bersatu teguh mempertahankan hak dan memelihara negara demi kesejahteraan Malaysia. – HARAKAHDAILY 31/12/2023

- Advertisement -