Pluralisme: Agenda halus samakan Islam dengan agama lain

- Advertisement -

PLURALISME agama adalah satu cara fikir yang meletakkan bahawa semua agama adalah sama, dengan maksud semua agama adalah benar. Ia bertitik tolak daripada fahaman liberalisme yang berasaskan kepada kebebasan yang liar.

Ringkasnya, fahaman pluralisme mendakwa bahawa tiada agama yang paling betul. Ia juga disebut sebagai liberalisasi aqidah. Fahaman  meyakini bahawa semua agama adalah sama-sama benar, dan merupakan jalan untuk menuju kepada Tuhan yang sama [1].

Ulil Absar Abdallah yang merupakan penyelia Jaringan Islam Liberal di Indonesia mendakwa bahawa “Semua agama adalah sama. Semuanya menuju jalan kebenaran. Jadi, Islam bukan agama yang paling benar” [2]

Frans Magnis Suseno menyatakan bahawa agama itu berbeza-beza khususnya dari sudut syariat-syariatnya. Cuma, yang dikemukakan oleh pluralisme agama ialah adanya pengiktirafan terhadap agama lain atau mengesahkan kebenarannya [3].

Hermeneutika dan pluralisme agama

Kumpulan Islam Liberal dalam mengkritik al-Quran, menggunakan metode pentafsiran hermeneutika iaitu “to understand the discourse just as well as even better than its creator” [4]

Hemeneutika adalah kaedah yang digunakan oleh para pluralis agama dalam menafsirkan al-Quran. Ia bermaksud kritikan (textual criticism) atau penafsiran al-Quran mengikut kesesuaian semasa, sehingga membawa kepada penafsiran yang menyimpang.

Muhammad Arkoun antara yang berpendapat bahawa kononnya al-Quran perlu ditafsirkan dengan method sedemikian, dengan tanggapan bahawa al-Quran tidak suci, dan tidak mulia. Beliau mendakwa al-Quran sama sahaja dengan buku lain, yang dianalisa dan dikaji, agar sesuai dengan situasi tertentu. [5]

Method Hermeneutika ini dahulunya digunapakai oleh Pemikir Barat untuk menafsirkan Bible. Ini kerana, banyak kekaburan di dalam kitab tersebut. Justeru, kaedah ini cuba diterapkan dalam penafsiran al Quran, atas alasan kononnya isinya hanya sekadar khayalan teologis (الخيال الديني) dakwa Lutfi Syaukani.

Beliau mendakwa lagi bahawa hakikat sejarah penulisan al Quran sendiri penuh dengan berbagai keadaan yang kacau dan tidak lepas daripada perdebatan, pertentangan, tipu daya dan rekaan [6].

Alphonse Mingana [7] menegaskan bahawa;

“Sudah tiba masanya kita mengkritik teks al Quran sepertimana kita lakukan terhadap kitab suci Yahudi yang berbahasa Ibrani-Arami dan kitab suci Kristian yang berbahasa Yunani” [8]

Farid Esack dan penafsiran hermeneutika

Nama beliau tidak asing lagi dalam dunia Hermeneutika dan pluralisme agama. Dalam agenda penafsiran al Quran dengan kaedah Hermeneutika, beliau boleh dikatakan sebaris dengan Hasan Hanafi, Fazlur Rahman dan Muhammad Arkoun. [9]

Method penafsiran menyeleweng mereka tertumpu kepada menghasilkan pembacaan yang berorientasi pada semangat al-Quran yang bernilai universal (صالح لكل زمان ومكان). Nilai universal yang dimaksudkan adalah nilai kebebasan (الحرية), nilai-nilai humanistic, nilai keadilan (العدالة), kesetaraan (المساواة), dan hak asasi manusia (حقوق الانسان). [10]

Farid Esack antara individu yang menggunakan pendekatan sebegini yang diselaraskan dengan kitab-kitab suci yang lain kononnya atas nama universal. Kononnya bagi membina landasan teologi (jambatan antara agama) untuk mewujudkan kerjasama bagi membina masyarakat yang lebih manusiawi. [10]

Antara karya Esack yang membicarakan hal ini ialah ‘al Quran, Liberation and Pluralism’. Di dalam karya ini, beliau sendiri mengutarakan bahawa method Hermeneutikanya banyak merujuk kepada Francis Shcussler-Fiorenza [11]

Jika diamati karya beliau ini, kita akan dapati bahawa tulisannya bertitik tolak daripada hermeneutika penerimaan (reception hermeneutics) yang popular dalam tradisi Bible [10]. Maksudnya sejauh mana ayat-ayat dalam kitab-kitab suci itu dapat menyelesaikan masalah masyarakat.

Farid Esack dan pluralisme agama

Antara dalil yang ditafsirkan secara salah oleh Esack bagi mendukung fahaman pluralisme agama ialah;

- Advertisement -

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَادُوا وَالنَّصَارَىٰ وَالصَّابِئِينَ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَعَمِلَ صَالِحًا فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(al Baqarah: 62)

Berdasarkan ayat ini, beliau mendakwa bahawa Tuhan menjanjikan keselamatan bagi setiap orang yang beriman kepada-Nya dan Hari akhir, yang disusuli dengan berbuat kebajikan (amal saleh) tanpa melihat agama anutannya.

Maksud dakwaannya, apa nama agama kamu itu tak penting. Asalkan kamu beriman kepadaNya dan Hari Akhirat, kemudian beramal soleh, kamu akan selamat. Huraian beliau ini membawa kepada sudut pandang yang ganjil, yang cuba merobohkan ‘Islam agama yang paling benar’.

Di sini beliau menterjemahkan manifestasi perjuangannya iaitu mengenepikan unsur asal usul agama, bagi membina sistem politik yang demokrasi dan kononnya mengambil kira kepelbagaian agama [12]. 

Kita sebagai Muslim, berpegang bahawa Islam itu satu-satunya agama yang betul. Ia jelas berdasarkan ayat;

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah mengenai kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.”

(Ali Imran: 19)

Beliau mendakwa bahawa ‘ad Din’ yang dinyatakan dengan jelas dalam ayat ini bukanlah bermaksud sebuah agama yang formal. Sebaliknya ia sekadar maksud proses penyerahan diri kepada Tuhan. [13]

Dengan maksud lain, beliau cuba menyelewengkan gambaran bahawa ‘ad-Din’ itu bukan hanya Islam. Tetapi mana-mana agama yang ada unsur penyerahan diri kepada Tuhan, boleh disebut ‘ad-Din’.

Agenda pluralisme agama dalam dunia Islam

Apabila kita meneliti bagaimana kerangka berfikir pluralisme agama, kita akan dapati bahawa ia merupakan satu gerakan pemikiran yang menyusup masuk dalam dunia Islam. Di awal tulisan ini telah menyatakan hubung kait pluralisme dan liberalisme.

Leonard Binder, penulis buku Islamic Liberalism dan juga merupakan seorang pakar politik beragama Yahudi dari Universiti Chicago mengakui bahawa sekularisme sebenarnya telah gagal di Timur Tengah (Dunia Islam), oleh sebab itu kini barat memberikan konsep Islam Liberal untuk memperkuat liberalisme politik di negara-negara Muslim [14].

Justeru, individu seperti Farid Esack, Hassan Hanafi, Muhammad Arkoun, Fazlur Rahman dan lain-lain merupakan gambaran yang jelas bagaimana agenda ini sedang menular dalam dunia Islam. Antara yang telah saya nyatakan ialah penafsiran al-Quran secara Hermeneutika yang berunsurkan pluralisme agama.

Dalam Persidangan di Nixon Center pada 2004 antara pemikir-pemikir Amerika dan tokoh sufi dalam Islam, Bernard Lewis menyebut mengenai wujudnya unsur pluralisme agama dalam sufisme;

“Sufisme itu satu perkara yang menakjubkan. Ia menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada toleransi. Sikap terhadap orang-orang yang berlainan agama sebagaimana yang ditunjukkan dalam kitab-kitab Sufi tiada tolok bandingnya. Ia bukan sahaja toleransi, bahkan ia adalah penerimaan. 

Di sana terdapat syair-syair karangan Rumi dan Ibn Arabi dalam bahasa Parsi dan Turki yang menandakan bahawa semua agama adalah sama: Semua agama mempunyai tujuan yang sama, mesej yang sama, komunikasi yang sama, dan juga mereka menyembah Tuhan yang sama. 

Mereka mungkin melakukannya dengan cara yang berbeza-beza tapi Tuhan itu tetap ada di gereja, di masjid, di synagogue. (rumah ibadat Yahudi). Pada saya, ia kelihatan bahawa konsep penerimaan yang begitu berbeza dengan toleransi semata-mata, adalah suatu sumbangan penting yang mempunyai kesan yang berpanjangan dan juga boleh memainkan peranan dalam usaha mewujudkan hubungan yang lebih baik antara komuniti yang berbeza pada masa kini dan juga pada masa akan datang. 

Jika kamu lihat pada Ten Commandments (Sepuluh Perintah yang diturunkan kepada Nabi Musa ketika beruzlah di Gunung Sinai. Ajaran perintah tersebut juga diamalkan dalam agama Nasrani kerana disebutkan juga dalam kitab Bible) kamu akan dapati bahawa sebahagian besar daripadanya adalah berkaitan hubungan antara manusia. Hanya sebahagian kecil yang berkaitan dengan hubungan antara manusia dan Tuhan. 

Kebanyakan daripadanya adalah berkaitan dengan apa yang tidak boleh diperlakukan kepada manusia lain. Dalam kitab-kitab Islam yang standard, ia sebaliknya: ia banyak berkait dengan hubungan dengan Tuhan berbanding hubungan dengan manusia lain. Sufisme sekali lagi membawakan perubahan yang signifikan dalam hal ini.” [15]

Abrahamic Faith, Abrahamic Family House 2019 dan Abraham Accord 2020

Abrahamic Faiths merupakan istilah bahasa Inggeris yang sering digunakan oleh orang Barat untuk menamakan dan mengkelompokkan agama Yahudi, Kristian dan juga Islam sebagai agama yang bersusur-galur daripada Nabi Ibrahim. [16]

Perbincangan istilah ini agak panjang, namun kita sebagai umat Islam berpegang dengan FirmanNya;

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.”

(Ali Imran: 67)

Terma Abrahamic Faiths diperkenalkan dunia Barat asalnya bertujuan membina keharmonian yang dilihat dari sisi memahami dan mengaplikasikan komunikasi antara satu sama lain atas hal-hal berkaitan keagamaan. 

Namun kesempatan ini telah diambil oleh tokoh-tokoh pluralisme agama sehingga meletakkan kesamaan kedudukan dan taraf agama Yahudi, Kristian dan Islam di atas dua ciri persamaan, iaitu tuhan yang sama iaitu tuhan Abraham (Nabi Ibrahim AS). [17]

Antara agenda pluralisme agama yang dilihat mempergunakan konsep Abrahamic Faiths ialah rundingan agama yang dinamakan Human Fraternity 2019 yang diadakan di Abu Dhabi, UAE. [18]

Walaupun dalam dokumen tersebut tidak menyebut secara jelas mengenai Abrahamic Faith, namun secara praktisnya kita dapat lihat melalui pembinaan Abrahamic Family House (AFH) bermula pada tahun yang sama.

AFH adalah sebuah kawasan yang menempatkan masjid, gereja Kristian dan synagogue Yahudi saling menghadap antara satu sama lain, dan telah dirasmikan pada 16 Februari 2023. [19]

Pada 2020, UAE sekali lagi mengepalai agenda rundingan antara Abrahamic Faiths melalui Abraham Accord dengan Israel. Nama Nabi Ibrahim A.S sekali lagi dipergunakan untuk membina hubungan (khususnya geopolitik) antara negara haram Israel dengan negara-negara Arab [20].

Jika diteliti, UAE meletakkan Sufisme sebagai dasar luar mereka. [21] Nilai-nilai persamaan antara 3 agama itu diangkat atas nama toleransi. Ia bukanlah kesufian yang sebenar yang dibawa oleh para ulamak Islam terdahulu, sebaliknya ia adalah kempen politik di sebalik wajah kesufian. Promosi-promosi atas slogan toleransi ini mengheret kepada mewajarkan asas-asas pluralisme agama.

Rand Corp: Strategi melahirkan Moderate Muslim

Moderate Muslim adalah produk Amerika bagi memperkasakan dasar Liberalisme Amerika. Perkara ini boleh dilihat dalam kajian RAND Corp yang bertajuk Building Moderate Muslim Networks yang diterbitkan pada 2007. 

Kajian RAND Corp ini juga turut didedahkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2012 [22] dengan meletakkan di bawah subtopik Jaringan Islam Liberal

Dalam bahagian penghargaan laporan itu RAND Corporation mengucapkan ribuan terima kasih kepada Anwar Ibrahim dari Malaysia, bekas Timbalan Perdana Menteri dan ketika itu sedang mengajar di Universiti Georgetown, Amerika. [23] 

Selain Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI), tujuh nama lain yang disebut dari Indonesia, empat orang dari Filipina dan tiga orang dari Singapura. Ia menggambarkan bahawa DSAI antara individu yang terlibat dalam penghasilan kajian tersebut.

Di dalam dokumen tersebut menyatakan bahawa AS akan mendapat pelbagai keuntungan daripada penyebaran agenda nilai-nilai demokrasi liberal iaitu, nilai kesamaan (values of equity), toleransi, pluralisme, penegakan hukum (undang-undang) dan hak asasi manusia (HAM).

Angel Rabasa yang merupakan penganalisis kanan RAND Corporation menyatakan bahawa;

“Perjuangan dalam kebanyakan dunia Islam hari ini adalah perang idea”. Katanya lagi “Ini bukan satu bentuk peperangan antara tamadun (bukan Islam lawan Barat) tetapi peperangan idea antara Islam sesama Islam dalam menentukan takrif mereka, sama ada Islam Liberal atau Islam Radikal” [24].

Islam Liberal yang dihuraikan sejak awal, bercirikan kepada fahaman pluralisme agama, manakala Islam radikal yang dimaksudkan oleh Rabasa merujuk kepada Islam fundamentalis.

Antara strategi yang digariskan oleh RAND Corp untuk membina rangkaian ini adalah dengan menjalin kerjasama dengan kelompok modernis dan tradisionalis termasuk kelompok-kelompok Sufi [25].

Umat Islam perlu sedar

Umat Islam hari ini perlu sedar, dan berhati-hati dengan agenda perang pemikiran. Untuk memahami agenda Barat ini, tidak semudah membezakan warna hitam dan putih. Sebaliknya ia perlukan penelitian semasa yang merumitkan.

Istilah yang digunakan oleh golongan ini kadangkala berwarna Islamik, sehingga mempesonakan umat. Untuk memahami perkara ini, perlukan penelitian yang panjang, terhadap agenda panjang Barat ke atas dunia Islam.

Agenda antarabangsa tidak cukup sekadar kita melihat hanya dengan kaca mata tempatan. Agenda semasa tidak cukup kita tanganinya hanya dengan kaca mata klasik. Agenda pemikiran Barat tidak cukup kita menelitinya hanya dengan karya-karya Timur. 

Sebaliknya umat Islam perlu melihat pada neraca antarabangsa, menanganinya dengan kaca mata kontemporari dan menelitinya melalui karya Timur dan Barat. 

MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 27/12/2023 

Rujukan:

[1] Dr. Anis Malik Taha, Tren Pluralisme Agama, Perspektif, Jakarta, 2002)
[2] Majalah Gatra, 21 Desember 2002
[3] Abd. Moqsith Ghazali, Argumen Pluralisme Agama. Depok: Kata Kita: 2009, hal. 67.
[4] Freidrich Schleiemenrcher “The Hermeneutics: Outline of the 1819 lectures”, dalam Hermeneutic Tradition, 1990, hal. 93
[5] Muhammad Arkoun, Rethinking Islam, Westview Press 1994, hal. 36
[6] Lutfi Syaukani, Merenungkan Sejarah Al Quran, dalam Abd.Muqsith Ghazali, Ijtihad Islam Liberal, 2005, hal.1.
[7] Paderi Kristian yang berasal dari Iraq, dan merupakan pensyarah di Universiti Birmingham
[8] Ariffin Ismail, Cabaran Akidah : Pemikiran Islam Liberal, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri 2012, hal. 25.
[9] Akhmad Ali Said, Hermeneutika al Quran Tentang Pluralisme Agama Perspektif Farid Esack, 2020, hal. 4.
[10] Abdul Mustaqim, Dinamika Sejarah Tafsir al-Qur’an: Studi Aliran-aliran Tafsir dari Periode Klasik hingga Modern-Kontemporer. Yogyakarta: Adab Press, 2012.
[11] Farid Esack, Qur‟an, Liberation & Pluralism: An Islamic Perspective of Interreligious Solidarity against Oppression. Oxford: Oneworld Publications,1997, 14.
[12] ibid, 123.
[13] Opcit, Akhmad Ali Said, hal. 16.
[14] Opcit, Ariffin Ismail hal. 9.
[15] Editor Zeyno Baran, terjemahan Alif Danial, Memahami Sufisme Serta Potensi Peranannya Dalam Dasar Amerika Syarikat, IIIRD, 2004, hal. 26.
[16] Jerald F. Dicks. Abrahamic Faiths:Titik Temu dan Titik Seteru Antara Islam, Kristian dan Yahudi, Serambi Ilmu, 2006.
[17] Shuhaida Shaharuddin dan Khadijah Mohd Khambali@Hambali, Analisis Konsep Abrahamic Faiths dan Kaitannya dengan Pluralisme Agama, International Journal of Islamic Thought, 2012, hal. 5.
[18] https://www.muslim-elders.com/HumanFraternity/document-human-fraternity.html 
[19] https://www.abrahamicfamilyhouse.ae/ 
[20] https://www.uae-embassy.org/abraham-accords-sustainable-inclusive-growth 
[21] https://www.middleeasteye.net/opinion/uaes-foreign-policy-far-secular 
[22] Opcit, Ariffin Ismail.
[23] Opcit, Ariffin Ismail, hal. 28.
[24] Opcit, Ariffin Ismail, hal. 33.
[25] Opcit, Ariffin Ismail, hal 26. 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -