Bangkit kesedaran umat, bukan tindakan menakut-nakutkan

Jawab dakwaan Anwar Ibrahim

- Advertisement -

SAYA ingin menyatakan pandangan terhadap kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu ‘menakut-nakutkan orang Melayu’. Hakikatnya, membincangkan isu yang berkaitan dengan Malaysia bukanlah tindakan menakut-nakutkan orang Melayu. 

‘Siege mentaliti’ sebenar ialah rasa ketakutan golongan tertentu yang ditimbulkan politikus tertentu terhadap perpaduan umat Islam di negara ini. Juga pandangan sempit kononnya kesinambungan pemerintahan oleh kaum majoriti iaitu orang Melayu-Islam ini bakal merugikan kaum bukan-Melayu. 

Ini adalah pemikiran sempit yang tidak mewakili realiti sebenar politik dan sosial Malaysia. Pemikiran di sebalik inilah yang melahirkan idea mengenai kemungkinan Perdana Menteri bukan-Melayu dan pengenalan semula Pilihan Raya Majlis Tempatan. Sedangkan ia sepatutnya tidak perlu ditimbulkan langsung.

Tidak dapat dinafikan juga, realiti politik menunjukkan bahawa perpecahan dalam kalangan umat Melayu-Islam memberi peluang kepada pihak lain untuk mendominasi secara tidak langsung. 

Sejarah politik kita telah menunjukkan ini. Contoh terkini di mana parti Islam yang menang paling banyak kerusi di pilihan raya umum tidak menjadi sebahagian dari kerajaan. Malah dinafikan peruntukan sebagai pembangkang! Ini membuktikan bahawa apa saja boleh terjadi dalam politik.

Membangkitkan kesedaran terhadap potensi kehilangan kedudukan politik umat Islam bukan satu tindakan menakut-nakutkan, tetapi sebaliknya merupakan tanggungjawab ummah. Ini penting untuk menjaga kepentingan dan kedudukan umat Islam dalam politik, keharmonian pelbagai kaum dan sosial Malaysia.

MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 24/12/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -