Pemuda Al-Kahfi ibrah pertahan akidah, hadapi penguasa zalim

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

ALOR SETAR: Umat Islam sewajarnya menjadikan kisah pemuda Al-Kahfi sebagai ibrah mempertahankan tauhid walaupun berhadapan ancaman penguasa zalim.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, kisah itu diakui Allah melalui firman-Nya bahawa mereka adalah orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan (Allah) mereka.

Menurutnya, pemuda Al-Kahfi yang dirakamkan Allah di dalam Al-Quran jelas menceritakan mereka merupakan kumpulan mentauhid dan mengesakan Allah SWT.

Katanya, di dalam Surah Al-Kahfi ayat 13, Allah berfirman yang bermaksud: ”Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan salah seorang pemimpin negara yang mengatakan kisah pemuda Al-Kahfi yang dirakam Allah di dalam Al-Quran mempunyai persamaan yang terkandung di dalam Bible.

“Kisah ini bertitik tolak daripada soalan dua pemuka Musyrikin Mekah yang bertanya tiga soalan kepada Nabi Muhammad SAW, di mana salah satunya adalah mengenai pemuda yang panjang tidurnya,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu ujarnya lagi, turunlah wahyu mengenai pengkisahan pemuda Al-Kahfi atau yang turut dikenali sebagai ‘The Seven Sleepers’.

“Kisah pemuda Al-Kahfi ini bukan sahaja berkenaan soal nilai, tetapi ketegasan mempertahankan akidah mereka walaupun diancam daripada sang penguasa yang zalim,” tambah beliau.

Mengulas lanjut katanya seharus naratif mengenai keagungan kisah pemuda Al-Kahfi ini diluruskan supaya kita tidak hanya memahaminya dalam konteks yang kecil.

Tambahan pula kata beliau kisah ini begitu besar kepentingannya terhadap agenda dakwah dan akidah seseorang Muslim.

“Sememang nilai dan akhlak menjadi dasar seseorang Muslim, tetapi ingatlah bahawa nilai dan akhlak itu tidak akan kukuh tanpa ada kekuatan dan keluhuran akidah yang membentenginya,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 22/12/2023

- Advertisement -