Mangsa banjir di Kelantan makin berkurang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan hari ini menurun kepada 3,112 orang daripada 971 keluarga berbanding berbanding 5,087 orang daripada 1,592 keluarga semalam.

- Advertisement -

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih beroperasi di jajahan Pasir Mas.

PPS tersebut termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, SK Gual To’deh, SK Gual Periok dan SK Kedai Tanjong.

Selain itu ada mangsa banjir ditempatkan di Masjid Mukim Padang Licin, Madrasah Tasek Bakong dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Pohon Buluh, Pasir Mas.

Dalam pada itu Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Kelantan di Kuala Besar terus kekal pada paras bahaya walaupun sudah menunjukkan trend menurun.

Keadaan cuaca di Kelantan hari ini dan semalam cerah membolehkan orang ramai melaksanakan urusan harian lebih lancar.

Bagaimanapun penduduk penduduk Kampung Teresang dan Bendang Perol Rantau Panjang masih berdepan banjir termenung memandangkan tidak banyak laluan keluar air di projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok.

Penduduk kampung terpaksa berdepan dengan banjir sejak tiga minggu lepas. – HARAKAHDAILY 20/12/2023

- Advertisement -