Dahulu terima bantuan, sekarang mampu bayar zakat RM1 juta

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pada tahun 2013 Nur Farhana Ismail menerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

- Advertisement -

Beliau menerima bantuan bagi menyambung pengajian peringkat diploma di Kolej Poly-Tech MARA dalam jurusan Pengurusan Perniagaan sebanyak RM1,700.

Menurut MAIK wang zakat tersebut membantu Nur Farhana melanjut pelajaran dan akhirnya menjadi batu loncatan sehingga berjaya dalam perniagaan.

Namun sekarang pelajar terbabit sudah bergelar usahawan berjaya sehingga mampu membayar zakat sebanyak RM1 juta kepada MAIK.

Nur Farhana yang lebih dikenali dengan panggilan Cik Na tu merupakan pemilik syarikat AnaZahra OEM Sdn Bhd.

“Beliau membayar zakat dengan jumlah amat besar kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 19 Disember lepas.

“Ini sekali gus menjadikan Cik Na sebagai pembayar zakat individu tertinggi di MAIK,” kata kenyataan MAIK.

Bayaran zakat tersebut disampaikan kepada Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Pejabat MAIK.

Menurut MAIK, Cik Na merupakan salah seorang pembayar zakat dan sebagai individu yang turut menyumbang dalam membantu asnaf di Kelantan.

“Kita dapat melihat Cik Na mampu membayar zakat dengan sejumlah wang yang sangat besar kerana Allah SWT memberikan rezeki cukup luas kepadanya.

“Bagi Cik Na, apa yang diterima dan dimilikinya adalah daripada hasil perniagaannya yang sentiasa mendapat keuntungan berganda atas keberkatan dia membayar zakat kepada MAIK,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/12/2023

- Advertisement -