Menteri didesak turun padang projek tebatan punca banjir

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Sebelum ini kerajaan Madani mendakwa masalah banjir dan air bertakung di Rantau Panjang dapat ditangani dengan pelaksanaan projek ‘spillway’ banjir yang disiapkan pada pertengahan tahun ini.

- Advertisement -

Malah portal pro Pakatan Harapan (PH) mendakwa selepas Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pada Disember 2022, projek tersebut berjaya disiapkan tidak sampai dua bulan.

Apa yang digambarkan tersebut tidak perpijak di bumi nyata apabila berulang semula banjir ada kaitan akibat projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok.

Penduduk Kampung Tersang dan Kampung Terusan dekat sini sekali lagi dilanda banjir.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) bulan lepas Adun Gual Periok Kamaruzaman Mohamad mendesak supaya laluan air dibina segera bagi mengelakkan banjir berulang seperti tahun lepas.

Tidak berpuas isu banjir berulang, penduduk Kampung Teresang dan Bendang Perol berhimpun bagi mendesak pihak berkaitan membuka laluan air di projek tersebut.

Ahli Jawatankuasa Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd Arifin Ismail berkata, pihaknya menggesa menteri berkenaan mengambil tindakan drastik dan solusi yang lebih berkesan bagi mengatasi masalah banjir.

Katanya, menteri seharusnya turun padang bagi melihat nasib penduduk yang terjejas banjir akibat projek tebatan banjir.

“Ada penduduk yang terpaksa tinggal hampir sebulan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana rumah mereka ditenggelami banjir.

“Banjir yang melanda sekarang menenggelamkan hampir keseluruhan 56 rumah terutama penduduk Kampung Teresang dan Bendang Perol,” katanya kepada pemberita di sini. – HARAKAHDAILY 19/12/2023

- Advertisement -