Belum ada laporan mangsa banjir menipu

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Sehingga sekarang Polis Kelantan belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan penduduk tidak terjejas banjir menipu mendaftar sebagai mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

- Advertisement -

Ketua Polis negeri Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau laporan yang dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan perkara itu.

“Setakat ini tiada sebarang laporan yang spesifik diterima oleh polis berkaitan isu dakwaan itu.

“Mungkin timbul isu ini berdasar jumlah mangsa banjir yang ramai. Bagaimanapun pihak polus sedia membantu dalam melakukan siasatan jika ada laporan dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang Dua, di sini, hari ini. (Foto atas)

Beliau turut menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang berpindah di PPS berkenaan. Hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kelantan, Datin Suzana Yashin.

Muhamad Zaki juga berkata, beliau percaya Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu terbabit.

Sebelum ini media melaporkan ada mangsa banjir bimbang penduduk yang tidak terlibat dengan banjir di Rantau Panjang turut mendaftar di PPS bagi mendapat bantuan kerajaan. – HARAKAHDAILY 19/12/2023

- Advertisement -