Wala’ hanya untuk pimpinan parti sendiri

Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

MELAKA: Konsep wala’ dalam PAS adalah ketaatan terhadap arahan yang diberikan oleh pimpinan parti sendiri dan bukan kepada parti yang PAS bertahaluf, kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden.

- Advertisement -

Menurut beliau, keretakan yang pernah berlaku dalam PAS sebelum ini adalah disebabkan oleh sesetengah pimpinan parti yang memberikan wala’ kepada pimpinan parti sekutu lebih kuat daripada pimpinan parti sendiri.

Tambah beliau, situasi itu dikesan sejak awal tahun 2008 lagi apabila ada pimpinan PAS pada waktu itu yang lebih mengagumi pimpinan parti sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) pada ketika itu iaitu DAP dan PKR.

“Ketika inilah, tahun 2008, PAS diuji dengan begitu dahsyat. Berapa ramai pimpinan dan ahli PAS yang lebih wala’ kepada pimpinan rakan tahalluf daripada pimpinan sendiri.

“Berapa ramai pimpinan PAS (waktu itu) yang lebih memahami ucapan pemimpin parti tahalluf daripada ucapan dasar Presiden PAS sendiri,” ujarnya.

Ustaz Afnan berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja ‘Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden’ yang berlangsung di Dewan Kompleks PAS Bukit Katil, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, apa yang berlaku itu disebabkan ahli PAS yang tidak memahami konsep tahaluf dan wala’.

“Tahaluf tidak boleh membuatkan ahli memberikan wala’ kepada pimpinan parti tahaluf. Wala’ mesti untuk pimpinan parti sendiri sahaja,” ujarnya.

Tambah beliau, masalah ini juga berlaku apabila PAS melakukan kerjasama dengan Umno di dalam Muafakat Nasional (MN) apabila ada ahli yang lebih mengagumi pimpinan Umno.

Katanya lagi, ia bukan hanya berlaku kepada pimpinan rendah malah ia berlaku pada pimpinan yang berada di peringkat tinggi parti sehingga akhirnya terpaksa disingkirkan kerana merosakkan parti dari dalam.

“Jangan ada lagi perangai seperti itu dalam PAS yang menjadi barah yang merosakkan PAS dan melambatkan kemenangan. Semua ini berlaku pengalaman 2008-2009 dulu.

“Dan alhamdulillah sekarang kita dalam PERIKATAN NASIONAL semakin kuat dan semakin utuh kefahaman kita terhadap jemaah,” ujarnya.

Turut membentangkan kertas kerja ialah Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil sementara Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail memberikan ucapan alu-aluan. – HARAKAHDAILY 17/12/2023

- Advertisement -