PKINK sasar untung RM175 juta menjelang 2028

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menyasarkan sebanyak RM175 juta keuntungan menjelang 2028 dalam peneraju utama ekonomi khususnya di negeri ini.

- Advertisement -

Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Nussuruddin Daud berkata, dalam mencapai sasaran tersebut pihaknya telah merangka pelan perniagaan lima tahun (2024-2028) dengan mengambil kira aspek kelestarian dan mampan, ekonomi digital serta teknologi tinggi.

Katanya, pelan itu juga akan menitikberatkan peralihan kepimpinan dalam pengurusan syarikat kumpulan serta ianya dirancang dan akan dilaksanakan oleh anggota-anggota yang komited serta profesional dalam kumpulan PKINK sebagai garis panduan untuk menerajuinya pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, Kumpulan PKINK telah mencapai sasaran yang ditetapkan sebagaimana pelan perniagaan lima tahun sepanjang 2018 hingga 2023 dan sebaliknya kita telah mampu mencapai sasaran tersebut lebih awal dari tahun yang disasarkan.

“Sebagai perbandingan, prestasi keuntungan Kumpulan PKINK setiap tahun menunjukkan perkembangan yang positif iaitu bermula pada tahun 2019 kita telah mencapai sebanyak RM31 juta. Manakala untuk tahun 2020 berlaku peningkatan sebanyak 39 peratus menjadikan RM43 juta keuntungan meskipub ketika itu berdepan dengan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapanya ketika Majlis Sanjung Budi, Sentuhan Abadi PKINK, di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana, di sini, hari ini. Turut hadir sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Ab Aziz Yunus.

Sementara itu, beliau turut mengagumi keupayaan PKINK serta syarikat-syarikat anak kumpulan itu yang telah menunjukkan daya saing dan daya maju yang tinggi sekali gus berjaya meletakkan pemahaman yang jelas mengenai dasar-dasar Islam dalam setiap agenda pentadbiran dan perniagaan.

“Pada masa kini, sumbangan Kumpulan PKINK dalam pembangunan dan kemajuan negeri tidak boleh disangkal lagi. Peranan Kumpulan PKINK amat penting, malah boleh dianggap sebagai tulang belakang kepada pembangunan dan kesejahteraan negeri.

“Dalam era globalisasi ini, Kumpulan PKINK terus bergerak ke hadapan dalam memacu kemajuan negeri dalam persekitaran global yang lebih mencabar.

“Malah, usaha memperkasakan kecemerlangan dalam pentadbiran dan perniagaan adalah merupakan satu proses yang berterusan dan tiada penghujungnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/12/2023

- Advertisement -