PAS-Umno bersatu semula?

- Advertisement -

KENYATAAN Timbalan Presiden PAS dan Kenyataan Balas dari Presiden Umno mengenai kebersamaan kedua dua parti menggambarkan perbezaan dasar, pendekatan dan kebijaksanaan antara pimpinan kedua-dua parti.

Sementara PAS istiqamah dengan dasar kesederhanaan, terbuka, mendahulukan muafakat serta prinsip Islam dalam bertaawun, bertahaluf dan bertaayush Umno pimpinan Zahid mengekalkan sikap sombong, mempertahankan jajaran barunya, dan terus mengheret Umno semakin jauh dari naluri dan sentimen politik orang Melayu dan Islam.

Pada saya, biarlah Zahid dengan agendanya dan terserahlah kepada ahli mereka menentukan masa depan mereka. Dengan pemecatan ahli MKT mereka Isham Jalil, kita boleh gambarkan apakah bentuk Umno era Zahid ini. Umno akan terus terjerat dalam mainan Presidennya sendiri dan akan kekal dalam Self Denial kerana ‘stake’ yang perlu dipertahankan Presiden dan penyokong tegar kelilingnya amat besar dan mereka akan terus bergayut pada ghanimah yang mereka perolehi walau Umno terus karam dalam politik negara.

Kenyataan balas Timbalan Presiden PAS bahawa Umno bolehlah kekal ‘menjilat’ dan menjulang DAP adalah tepat. Mereka tidak akan mendengar isyarat dari orang Melayu dan umat Islam, malah mereka lebih bersedia melipatgandakan usaha menjual naratif pro liberalist, pluralist dan sosialis DAP.

Umno pimpinan Zahid adalah lambang kejayaan terbesar DAP dan PKR, sekali gus menguburkan parti itu buat selamanya.

Dari membuang masa cuba menyedarkan Zahid, lebih baik PAS, PN dan saf politik dan NGO yang sealiran menumpukan perhatian mengukuhkan muafakat di akar umbi termasuk bersama ahli Umno untuk memantapkan solidarity politik orang Melayu dan Umat Islam dalam kerangka besar negara berbilang kaum dan agama di negara kita Malaysia.

Kelompongan politik Melayu Islam yang ditinggalkan dan dibiarkan Umno boleh segera kita isi bersama dengan dukungan kuat rakyat seperti dibuktikan dalam pilihan raya pilihan raya yang baru berlalu.

PERIKATAN NASIONAL sudah mengambil alih peranan BN, dan PAS sudah mengambil alih tempat Umno di hati rakyat. 

Maju dan mara ke hadapan. Masanya sekarang untuk bergerak mengisi aspirasi rakyat. Lupakan mereka yang bersama politik kleptokrasi, kakistokrasi, manipulasi, serta dasar-dasar pluralis dan liberalis mereka. Biar mereka kekal saling menyokong sesama mereka. Dahulukan rakyat dan negara.

TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA HAJI ANNUAR MUSA 
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 7/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -