KUALA LUMPUR: Penggunaan kamera badan membabitkan anggota penguatkuasa dibimbangi menimbulkan beberapa isu melibatkan rakaman yang digunakan.
Senator Hussin Ismail berkata, penggunaan kamera berkenaan boleh menyebabkan kapasiti penyimpanan data yang terhad, ketelusan pengurusan data dan isu privasi petugas dan juga orang awam.
“Saya menyambut baik pengumuman oleh kementerian untuk mengadakan program kamera badan bagi penguatkuasa dalam beberapa bidang penguatkuasa yang terkait.
“Saya nak tahu perkembangan (mengenai) kamera badan, seterusnya bagaimana nak menyelesaikan tiga perkara yang saya sebutkan tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasadah berkata, kamera badan hanya digunakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala soalan yang dibangkitkan berkaitan Jabatan Imegresen.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan untuk kamera badan sedang dalam proses perolehan dan di peringkat akhir.
“Dijangka akan digunakan pada tahun hadapan. Apa pun ini adalah juga usaha untuk meningkatkan tahap integriti Kementerian Dalam Negeri (KDN), saya tidak boleh mengesahkan untuk digunakan oleh agensi di jabatan lain.
“Namun demikian kita harap penggunaan kamera badan boleh meningkatkan lagi tahap perkhidmatan terbaik kita kepada rakyat. Penggunaan di agensi (lain) mungkin kita akan kaji,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/12/2023