Bilakah akan selesai masalah bekalan air di Pahang? 

- Advertisement -

SIDANG Dewan Negeri Pahang yang sedang berlangsung ketika ini menyaksikan ramai ADUN dari serata negeri membangkitkan masalah bekalan air.

Dari Pahang Barat ke Pahang Timur, dari hulu ke hilir, dari luar bandar ke bandaraya, kawasan FELDA, kawasan tanah tinggi; rata-rata ADUN sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang ramai yang menyuarakan masalah tersebut.

Antara hujah mereka, masalah bekalan air yang dibangkitkan bukan sahaja boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat, malah mengganggu aktiviti ekonomi, projek-projek pembangunan dan tarikan pelancongan.

Ini memberi petunjuk bahawa Pahang sedang menghadapi masalah bekalan air yang bukan kecil dan mudah untuk diatasi. Penduduk di pelbagai daerah menanggung dan merungut kesulitan yang sama.

Ia masalah yang diwarisi sejak bertahun-tahun lamanya. Penduduk kian ramai, penggunaan makin tinggi dan keperluan makin mendesak, namun infrastruktur bekalan air semakin ketinggalan.

Rancangan penyelesaian

Kerajaan negeri pada tahun lalu mengumumkan bahawa 90 peratus masalah bekalan air akan diselesaikan dalam tempoh 5 tahun. Ia bermula pada tahun lalu hingga 2026.

Dilaporkan lebih RM2.3 bilion diperuntukkan untuk tindakan-tindakan penyelesaian yang melibatkan 217 projek di mana 93 projek telah disiapkan, 37 dalam pelaksanaan dan selebihnya masih dalam peringkat reka bentuk atau pra pembinaan.

Ini termasuk penyelesaian masalah-masalah seperti kekerapan terputus bekalan, tekanan rendah dan paip pecah melalui projek-projek seperti penggantian paip dan peralatan, perbekalan baharu, pemulihan loji sedia ada dan pembinaan loji baharu.

DUN Beserah

Bagi DUN Beserah, 6 projek telah disenaraikan yang memberi tumpuan kepada 5 kawasan iaitu Beserah – Batu Hitam, Kawasan Perindustrian Gebeng, kawasan Gebeng dan sekitarnya, pelabuhan dan Balok.

Kesemua projek yang disenaraikan belum dilaksanakan kecuali bekalan air ke Kawasan Perindustrian Gebeng yang sedang berjalan dan dijangka siap pada tahun hadapan.

Saluran air sepanjang 29 kilometer dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang dengan kapasiti jangkaan sebanyak 90 juta liter sehari sedang dibina untuk memenuhi permintaan dan keperluan tinggi sektor industri di Kawasan Perindustrian Gebeng.

Projek bernilai RM115 juta dengan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan ini membolehkan bekalan air ke kawasan industri tidak lagi bergantung kepada Loji Rawatan Air (LRA) Semambu yang juga membekal air kepada penduduk.

Ia dijangka dapat menambah baik bekalan air kepada para pengguna lain termasuk penduduk, perkhidmatan awam dan swasta serta industri kecil dan sederhana.

Bagi kawasan sekitar Jeram, Gelugor dan Batu Hitam di Beserah, fasiliti tangki air dan rumah pam sedang dalam rancangan pembinaan bagi meningkatkan tekanan bekalan. Pemasangan paip baharu juga akan dilaksanakan dari Jeram ke Pantai Batu Hitam. Saya difahamkan ia akan siap pada tahun 2025.

Manakala bagi kawasan sekitar Balok, Gebeng dan pelabuhan, kerja-kerja NRW penggantian paip akan dilaksanakan bagi meningkatkan tekanan dan bekalan air. NRW merujuk kepada bekalan air yang tidak sampai kepada pengguna akibat paip pecah atau sambungan paip air secara haram.

Selain itu, pihak PAIP juga dilaporkan sedang dalam proses menggantikan 5 buah pam baharu di muka sauk Kobat Lama dan menaiktaraf bekalan elektrik bagi meningkatkan kapasiti pam.

Kerja-kerja ini dijangka dapat menambah baik bekalan air ke sebahagian besar kawasan dalam daerah Kuantan termasuk keseluruhan DUN Beserah dari Alor Akar dan Air Putih hingga ke Chendor, Indera Mahkota, Bukit Goh, Bukit Kuantan, Bukit Sekilau, Cenderawasih, pusat bandar hingga ke Teluk Sisek.

Pengharapan

Saya menyanjung tinggi usaha pihak kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah-masalah bekalan air di seluruh negeri. Saya amat berharap pihak pengurusan PAIP dapat melaksanakan tindakan-tindakan penyelesaian dengan cekap dan mengikut jadual.

Saya yakin PAIP memiliki keupayaan kewangan untuk merealisasikannya lebih-lebih lagi dengan sokongan kekuatan kewangan negeri yang mencatatkan pendapatan lebih RM1 bilion dua tahun berturut-turut serta sokongan pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan.

Ditambah pula dengan hutang kerajaan negeri sebanyak RM2.1 bilion untuk meningkatkan perkhidmatan bekalan air telah pun dihapus kira oleh Kerajaan Persekutuan pada pertengahan tahun lalu.

Tidak kurang pentingnya, saya berpendapat pihak PAIP selaku satu-satunya syarikat perkhidmatan bekalan air di negeri ini mempunyai tanggungjawab sosial untuk melaporkan secara ringkas kepada umum kemajuan setiap kerja atau projek sebagaimana yang telah disenaraikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Selain kebertanggungjawaban, ia juga komitmen integriti dan ketelusan oleh pengurusan PAIP dan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu berkepentingan awam ini. 

YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah – HARAKAHDAILY 6/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -