Lim Kit Siang patut nasihat Umno ganti Presiden, bukan PAS

- Advertisement -

PAS mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas ucapan tahniah Penasihat DAP Tan Sri Lim Kit Siang susulan kejayaan besar calon PAS-PERIKATAN NASIONAL (PN) YAB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengalahkan calon Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman baru-baru ini.

Sikap budiman sedemikian amat dialu-alukan dan boleh menyumbang kepada pemupukan budaya politik lebih matang dan sejahtera yang positif untuk negara. Ia sememangnya menjadi pegangan PAS sejak sekian lama.

Namun begitu, persoalan yang cuba dibangkitkan oleh beliau terutamanya mengenai kedudukan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS dan kemungkinan Dr. Samsuri menggantikannya bagi membolehkan PAS “menjadi sebuah parti yang bersifat lebih moderat dan terbuka … dan menolak ucapan kebencian, penipuan, fitnah dan berita palsu” adalah tersasar, malah tidak mempunyai merit sama sekali.

Pertama, PAS bukan sahaja tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi, malah kedudukannya sebagai Presiden parti tidak pernah dicabar, kecuali sekali, namun mendapat sokongan penuh daripada ahli serta perwakilan di setiap kali Muktamar Tahunan PAS.

Pencapaian PAS bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi adalah yang terbaik jika dibandingkan dengan era sebelumnya. PAS kini merupakan parti tunggal terbesar dengan kerusi terbanyak di Parlimen, menguasai pentadbiran empat negeri dan mempunyai wakil di semua Dewan Undangan Negeri di Semenanjung.

Kedua, Tan Sri Lim Kit Siang bukanlah orang paling layak untuk bercakap mengenai kesederhanaan (moderation) dan sikap terbuka, baik kerana sejarah lampaunya sebagai seorang ahli politik, mahupun kedudukan semasanya sebagai penasihat sebuah parti yang masih sangat tebal dengan retorik perkauman dan cauvinisme.

PAS percaya, jika Tan Sri Lim berasa berhak untuk menimbulkan persoalan mengenai perubahan kepimpinan parti-parti selain DAP, maka lebih tepat dan berfaedah jika beliau menasihati parti sekutunya dalam kerajaan, khasnya Umno yang jelas semakin kehilangan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri, apatah lagi orang awam.

Keadaan ini sepatutnya lebih membimbangkan Tan Sri Lim, terutamanya apabila kepimpinan Umno turut terpalit dengan kes-kes jenayah besar yang pernah ditentang oleh DAP sendiri tidak lama dulu.

Sudah pastilah DAP tidak boleh berlepas tangan, terus berdiam diri atau mendakwa tidak terlibat dengan perkembangan yang berlaku berkait keadaan dan persengkongkolan itu.

Sebagai ahli politik veteran, tentulah Tan Sri Lim tidak terlepas pandang bahawa dalam PRK Kemaman, BN-PH kehilangan kira-kira 20,000 undi yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lepas.

Trend ini sangat jelas dalam semua PRK yang diadakan selepas PRU15, baik di Terengganu, Johor mahupun Pahang.

Justeru lebih bermanfaat sekiranya Tan Sri Lim Kit Siang memberi tumpuan kepada masalah dalaman PH-BN sendiri, serta isu kehilangan sokongan dan populariti yang dialami oleh Putrajaya, bukannya terus bermain politik picisan, hipokrit, hyperbole dan spekulatif yang tidak akan membantu mewujudkan masyarakat serta negara yang lebih baik, jujur dan demokratik.

Terima kasih.

TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS 
Bertarikh: 05 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 5/12/2023

- Advertisement -
- Advertisement -