PRK Kemaman: Mungkinkah ‘kubah Putrajaya’ turut bergegar?

Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
- Advertisement -

WALAUPUN Rafizi Ramli cuba membersihkan Anwar Ibrahim dengan menafikan kajian yang dikeluarkan oleh Merdeka Center, keputusan malam ini di PRK Kemaman mengiyakan kajian tersebut.

- Advertisement -

Malah bertepatan pula dengan hasil kajian daripada Terengganu Strategic and Intergrity Institute (TSIS). Penolakan terhadap Anwar adalah jelas dan protes terhadap kerjasama PH-BN adalah terang lagi bersuluh.

Dalam artikel saya sebelum ini dengan jelas mengatakan kehadiran Anwar di Kemaman melemahkan BN.

Kajian TSIS mengatakan 62 peratus rakyat Kemaman tidak berpuas hati dengan prestasi Anwar. Kajian Merdeka Center pula mendapati 60 peratus berpendapat kerajaan yang dipimpin oleh Anwar kini berada pada landasan yang salah.

Tindakan BN menurunkan Anwar dua hari sebelum pengundian telah memakan diri. Malah menyebabkan undi kepada BN semakin merosot manakala majoriti pula semakin meningkat.

PMX wajar untuk tidak senang duduk dengan referandum yang besar daripada rakyat Kemaman ini. Mungkinkah kubah Putrajaya juga turut bergegar dengan keputusan di Kemaman?

Secara atas kertas sepatutnya calon BN mendapat undi sebanyak 46,875 undian jika digabungkan jumlah undi yang diterima BN sebanyak 38,535 undi dan PH sebanyak 8,340 undi dalam PRU15 lalu.

Malangnya gabungan PH-BN yang lebih awal ditolak oleh 63 peratus oleh rakyat Kemaman (kajian TSIS) telah disahkan lagi penolakan ini dengan hanya 27,778 undian yang diterima oleh calon BN.

Perit bagi BN yang sepatutnya mendapat tambahan 8,340 daripada penyokong PH, rupanya hujan di tengah hari. Hasil gabungan BN-PH telah menghilangkan sebanyak 19,097 undi di Kemaman.

Keputusan bergabung dengan PH merupakan satu keputusan yang telah menguburkan BN di Terengganu secara total dan akan menguburkan BN di Malaysia. 

Tindakan PAS mencalonkan Menteri Besar Terengganu juga satu tindakan yang strategik dalam menilai pandangan rakyat terhadap calonnya itu.

Pertama, rakyat Terengganu mengiktiraf pencapaian dan kepimpinan Dr Samsuri di Terengganu walaupun jumlah keluar mengundi rendah ketimbang PRU15, namun majoritinya jauh lebih tinggi. Sekali gus mengekalkan P.040 dan mengekalkan 40-0.

Kedua, rakyat Kemaman mahu menghantar Dr Sam yang terkenal dengan politik matang ke peringkat Nasional sebagai alternatif dan sinar baharu dalam politik negara yang sedang hiruk-pikuk kini.

Ketiga, rakyat mahukan calon yang lebih berwibawa dan mempunyai track record yang cemerlang berada di barisan kepimpinan utama negara ketimbang tatakelola pentadbiran yang cacamarba kini.

Kemaman mesejnya jelas, wajar dihadami jika tidak mahu terbabas.

AHMAD FAHMI MOKHTAR
AJK Penerangan PAS Terengganu
2 Disember 2023 – HARAKAHDAILY 3/12/2023

- Advertisement -