PRK Kemaman: Berarak rai kemenangan tidak dibenarkan

Datuk Seri Ayob Khan
- Advertisement -

KEMAMAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap semua penyokong parti tidak terbabit dalam dalam sebarang perarakan atau pergerakan bagi meraikan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan berkata, sebarang aktiviti seumpama itu tidak dibenarkan bagi mengelak timbul bentuk gangguan kepada ketenteraman awam.

Menurutnya, pihak polis akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam semasa pasca pilihan raya nanti.

“Seramai 280 anggota dan pegawai polis akan memantau situasi ketenteraman awam semasa pasca pilihan raya nanti, sehinggalah keadaan dan situasi berada dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok, Chukai, di sini, sebentar tadi.

Ayob Khan turut memaklumkan terdapat sembilan lokasi hotspot (titik panas) di PRK kali ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang provokasi kepada pihak penguasa dan parti lawan.

“Jangan (mengganggu) pengundi yang datang menjalankan tanggungjawab mereka. Begitu juga semasa proses perjumlahan undi nanti.

“Elakkan berada di pusat pengundi setelah tempoh pengundian tamat pada 6.00 petang ini. Bagi ruang kepada SPR untuk menjalankan perjumlahan undi dengan aman dan lancar,” katanya.

Sementara itu, SPR memaklumkan peratus pengundi keluar mengundi sehingga jam 2.00 petang adalah 48 peratus. – HARAKAHDAILY 2/12/2023

- Advertisement -