‘Semua ini budaya lama, kolot politik balas dendam’

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru semua pemimpin politik sama ada di peringkat negeri mahupun nasional, untuk menghentikan kitaran politik diskriminasi.

- Advertisement -

“Sudah tiba masanya kita semua termasuklah rakan-rakan kita di luar sana untuk meninggalkan budaya politik diskriminasi akibat warna parti politik dan ini adalah satu rupa bentuk tajdid (reform) yang semestinya berlaku dalam negeri dan negara kita.

“Jangan kita mendera pilihan rakyat yang dijamin oleh perlembagaan. Dek kerana rakyat tidak memilih kita, maka kita mendera rakyat dengan sekatan dan penyempitan pelbagai perkara.

“Semua ini adalah budaya lama, kolot politik balas dendam, yang membawa negara kita ke belakang, dan jauh dari keharmonian,” katanya.

Beliau yang juga Adun Ru Rendang berkata, sebagai pemimpin, mesti mempunyai iltizam dan tekad yang kuat untuk menghentikan kitaran ganas (vicious cycle) ini dari terus berulang-ulang.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini yang menyentuh berkenaan pulangan balik hak royalti kepada negeri ini.

“Saya juga bersetuju dengan cadangan YB Seberang Takir untuk kita juga bermunajat dan menyerahkan urusan kepada Allah SWT.

“Tiada upaya kita kecuali dengan kuasa dan kehendak Yang Maha Perkasa yang boleh membuka hati pemimpin-pemimpin negara kita.

“Insya-Allah, kita akan menganjurkan program munajat rakyat ini pada masa yang akan dimaklumkan nanti. Semoga Allah SWT memberikan pertolongan-Nya kepada kita semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2023

- Advertisement -