PRK Kemaman: PAS sasar majoriti lebih besar

Ustaz Ariffin Deraman
- Advertisement -

KEMAMAN: Banyak pihak melihat PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) menguasai pentas politik di Kemaman dengan mengambil kira gerak kerja kempen Umno dan Barisan Nasional (BN) dianggap kurang bermaya.

- Advertisement -

Situasi itu bukan sahaja dirasai pemimpin PAS dan PN sebaliknya ramai pengkaji politik dari institusi pengajian tinggi menggambarkan dapatan serupa.

Mengulas perkembangan itu Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu Ustaz Ariffin Deraman berkata, dengan mengambil perkembangan yang berlaku sekarang pihaknya menjangka majoriti bakal diraih calon PAS lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Ada beberapa faktor yang memperlihatkan situasi begitu. Sebab itu pada saya kita masih lagi meletak sasaran majoriti 30,000 undi tidak mustahil. Kita ada formula untuk mencapai target tersebut.

“Kalau kita ambil formula PRK Kuala Terengganu Dato’ Amzad Hashim menang hanya 40,000 pada PRU15, namun pada PRK majoritinya melonjak sampai 47,000 undi.

“Tidak salah kalau kita letak yang tidak mustahil untuk mencapai target kita daripada 27,000 ke 30,000 undi. Kita sekarang sedang bergerak ke arah itu,” katanya di sini.

Ariffin yang juga anggota Exco kerajaan Terengganu memberi perumpamaan pelajar akan akan menduduki peperiksaan SPM, kalau pelajar Sekolah Imtiaz muncul sebagai pelajar terbaik kerana latihan dan kerja keras.

Bagaimanapun beliau tetap meletakkan kebimbangan sekiranya berlaku banjir pada hari mengundi Sabtu ini, boleh menyebabkan jumlah keluar mengundi akan merosot.

“Kita ada strategi insya-Allah, ada perkara yang kita fikir macam mana contohnya kita ada Khidmat Malaysia di mana mereka bersedia menghadapi banjir ketika pilihan raya berlansung.

“Di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dirancang akan diwujudkan pusat pengundian sekiranya berlaku banjir,” ujarnya yang juga Exco kerajaan negeri.

Beliau turut berharap pengundi yang tinggal di luar Kemaman balik menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih Sabtu ini.

“Saya yakin mahasiswa dan pengundi luar pulang mengundi sebab Kemaman dari segi geografi tidak jauh dengan Kuala Lumpur, Johor dan Pahang.

“Perjalanan dari Kuala Lumpur hanya dua atau tiga jam, jadi pada saya tidaklah jauh. Dan kalau mereka bekerja di Kuantan atau Gambang lagi dekat.

“Saya yakin mereka akan balik untuk melihat sendiri kemeriahan pilihan raya khususnya di musim tengkujuh sekarang. Jadi pada saya kita boleh capai majoriti 30,000 undi,” tambahnya.

Ustaz Hazri Jusoh

Mengulas isu serupa Naib Yang Dipertua PAS Kemaman Ustaz Hazri Jusoh berkata, ‘mood’ rakyat pada PRU15 dan PRN15 masih lagi dilihat kekal sehingga sekarang, lebih-lebih lagi pengundi muda.

Menurutnya pada PRN lepas hampir kesemua saluran pengundi muda di setiap pusat pengundian dimenangi PAS dan PN.

Pada PRK tersebut Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berdepan dengan Jeneral (B) Raja Mohamed Afffandi Raja Mohamed Noor mewakili BN. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -