KEMAMAN: Ketika era pemerintahan PAS bermula pada tahun 1999, wang royalti petroleum ditukar kepada wang ihsan yang dimanfaatkan sepenuhnya pemimpin Umno bagi menarik sokongan rakyat.
Hasil royalti petroleum tersebut tiba-tiba bertukar kepada wang ihsan selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.
Malah wang ihsan tersebut menjadi senjata Umno bagi menarik sokongan rakyat dalam misi merampas semula kerajaan negeri pada PRU 2004.
Wang ihsan RM200 yang diagih kepada rakyat bukan diberi percuma, sebaliknya nama-nama setiap penerima disenaraikan sebagai ahli Umno tanpa mengetahui mereka.
Naib Yang Dipertua PAS Kemaman Ustaz Hazri Jusoh berkata, ramai penduduk ketika itu tidak tahu nama mereka disenaraikan sebagai ahli Umno kerana tidak pernah mengisi borang keahlian.
“Saya diberitahu ramai penduduk yang mendapat wang ihsan daripada pemimpin Umno disenarai nama mereka sebagai ahli Umno.
“Sebab itu pemimpin Umno ketika itu mendabik dada mengatakan Kemaman mempunyai keahlian Umno paling banyak di Malaysia,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman hanya berbaki sehari lagi sebelum penduduk tempatan keluar mengundi Sabtu ini.
Suasana kempen begitu hangat apabila setiap tempat dan laluan utama dihiasai bendera PAS dan BN. Di banyak lokasi dari sempadan Dungun sehingga ke sempadan Beserah Pahang bendera PAS menguasai suasana.
Kemaman sebelum ini dianggap sebagai kubu Umno mulai runtuh bermula pada 1999 apabila PAS bertapak dengan menguasai Dun Chukai, Air Putih dan Kijal, manakala Dun Kemasik masih lagi dikuasai Umno.
Bagaimanapun pada 1970-an PAS pernah memenangi Dun Bendi (Air Puteh).
Dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas PAS dan Perikatan Nasional (PN) menguasai sepenuhnya empat Dun di Kemaman.
Azri yang juga bekas calon PAS di Dun Kijal pada 2008 berkata, beliau simpati kepada calon BN Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dianggap sebagai ‘kambing hitam’ selepas pemimpin Umno menolak untuk dicalonkan.
Katanya, sebagai seorang bekas panglima Angkatan Tentera perlu mempertahankan semangat patriotik dengan menolak parti yang tidak mempunyai prinsip yang jelas.
“Sebelum ini nama Ahmad Said dan Sabery Cheek menjadi sebutan, namun khabarnya mereka dikatakan tidak sanggup kerana jarak majoriti besar yang diperolehi PAS pada PRU lepas.
“Pemimpin Umno tidak berani untuk memasuki gelanggang PRK dengan rekod pencapaian PAS dan PN pada PRU serta PRN. Kerana tiada calon Umno maka bekas panglima tentera pula menjadi pilihan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/11/2023