Momentum PRN15 masih bertahan di Kemaman

Ustaz Arifin Deraman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS yakin dengan situasi yang berlaku sekarang pengundi di Parlimen Kemaman tidak berganjak daripada menyokong parti itu seperti berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata, berdasar gerak kerja kempen di peringkat akar umbi sejak 5 November lalu, sokongan rakyat didapati tidak berubah.

Katanya, jentera kempen khususnya muslimat diterima baik penduduk tempatan.

“Alhamdulillah apa yang berlaku di Kemaman tidak sama dengan PRK Pelangai dan PRK di Muar, Johor sebelum ini kerana sambutan pengundi di Kemaman begitu hebat.

“Kalau di Muar tidak dinafikan ada kesukaran jentera kempen. Begitu juga di Pelangai kita masuk sekali okey, kedua dan ketiga penduduk tutup pintu dah.

“Tetapi di Kemaman penduduk tempatan sambut baik. Tidak ada kes penduduk yang tutup pintu atau bermasam muka. Mereka menerima sangat baik kehadiran petugas datang berkempen. Sangat positif,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga di Kemaman ada 45 Unit Daerah Mengundi (UDM) di mana jentera kempen PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) bergerak ke bawah menemui hampir semua pengundi.

Kata beliau juga pada pilihan raya baru-baru ini PAS mendapat sokongan 65 peratus berbanding Umno disokong 35 peratus.

“Alhamdulillah saya sebagai Pengarah Pilihan Raya PRK Kemaman sangat berpuas hati dengan jentera kita bergerak ke bawah mengikut apa yang dirancang.

“PAS Terengganu berkampung di Kemaman sejak awal bulan ini dengan mengerahkan jentera PAS dari seluruh negeri di samping petugas dari seluruh negara.

“Fasa kedua bermula 10 November. Kita ada gelombang maksudnya kita tengok situasi di bawah dari semasa ke semasa dan sekarang gelombang akhir sedang bergerak di bawah,” ujarnya yang juga Exco kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 29/11/2023

- Advertisement -