Perancangan bandar menentukan kerajaan

- Advertisement -

LEBIH 45 tahun yang lalu ketika menunggu loceng untuk makan tengah hari di perpustakaan sekolah, saya terjumpa sebuah majalah yang menarik perhatian saya. Pada saya, majalah itu ‘Journal Jabatan Perancang Bandar’ sangat menarik dan saya telah membacanya dari kulit ke kulit. 

Ketika itu saya berada di Tingkatan 5 dan sebelum itu lebih berminat kepada majalah-majalah sukan terutamanya bola sepak seperti ‘shoot’. Selepas membaca journal tersebut, saya memberitahu seorang kawan bahawa saya mahu menjadi seorang Perancang Bandar (Town Planner).

Tetapi apa yang mendorong saya untuk bercita-cita menjadi seorang Perancang Bandar? Ramai kawan-kawan yang mahu menjadi doktor atau peguam. Mungkin tidak ada yang mengetahui kewujudan profesion tersebut. 

Saya tertarik kepadanya kerana profesion itu menentukan bagaimana kita hidup, bekerja, berniaga, berinteraksi, beriadah malah segala aktiviti manusia akan dipengaruhi oleh perancangan bandar. Sebagai seorang pelajar Tingkatan 5, saya merasakan seorang Perancang Bandar itu sangat berkuasa kerana perancangan yang mereka hasilkan mengatasi profesion-profesion lain. 

Tetapi adakah pandangan seorang pelajar Tingkatan 5 seperti itu tepat? Jawapannya ya dan tidak. Memang benar perancangan bandar mempengaruhi bagaimana kita melaksanakan aktiviti-aktiviti kita namun bukan seorang perancang bandar bertauliah yang bertanggungjawab sepenuhnya.

Seorang perancang bandar akan menghasilkan perancangan untuk sesuatu projek, lokaliti, kawasan atau zon namun ia tertakluk kepada kelulusan atau garis panduan yang ditetapkan di peringkat yang lebih tinggi. Peringkat ini selalunya adalah terdiri dari orang-orang politik yang membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan, Negeri atau Pihak Berkuasa Tempatan.

Tetapi perkara yang saya tidak sedar ketika di Tingkatan 5 itu adalah perancangan bandar turut mempengaruhi politik dan pembentukan kerajaan. Perancangan bandar akan mempengaruhi siapa yang akan menjadi Ahli Parlimen dan siapa yang akan menjadi Ahli Dewan Negeri. Akhirnya siapa yang akan membentuk Kerajaan Negeri dan juga siapa yang akan membentuk Kerajaan Pusat. 

Kesemua ini boleh ditentukan ketika perancangan tersebut masih berada di atas kertas atau pada layar komputer dan apabila pembangunan telah terlaksana, tidak banyak yang dapat dilakukan. Beribu ceramah atau berjuta posting media sosial tidak akan memberi kesan atau mengubah keadaan. Justeru jika ada yang masih tidak sedar betapa penting perancangan bandar dikawal, maka mereka perlu bangkit dari tidur.

Pada hakikatnya, perancangan bandar bukan sahaja menentukan pembangunan dan aktiviti bagi setiap kawasan yang dirancang tetapi siapa yang menghuni di situ. Sama ada orang kaya atau miskin. Juga kaum mana yang akan tinggal di situ. Bukan susah untuk menentukannya. Kemampuan membeli boleh dikaitkan dengan kaum. Aktiviti dan gaya hidup juga boleh dikaitkan dengan kaum. 

Di dalam suasana di mana kecenderungan politik boleh diramal, kerajaan malah pemaju boleh menentukan kecenderungan politik mereka yang tinggal di sesuatu kawasan pembangunan. Siapa yang akan menjadi majoriti dan siapa yang akan menjadi minoriti. Justeru melalui perancangan bandar boleh ditentukan parti politik atau gabungan parti politik yang akan menang di sesuatu kawasan. Maka dengan sekali gus siapa yang akan membentuk kerajaan.

Sebelum ini kita sering melihat persempadanan semula sebagai satu modus operandi bagi parti-parti politik untuk mengekalkan kuasa. Tetapi cara ini adalah cara lama yang mudah disedari. Walau bagaimanapun perancangan bandar sama ada melalui bandar baharu, pembangunan baharu atau pembangunan semula bandar adalah lebih efektif dan kadang-kala tidak disedari. Tiba-tiba sahaja landskap politik bandar-bandar kita berubah.

Sudah tentu ia akan memberi kelebihan kepada kerajaan yang bertanggungjawab memberikan pelbagai kelulusan. Pemaju-pemaju pula kadangkala hanya menurut kehendak ‘government of the day’ untuk memudahkan urusan mereka. Justeru tanpa pihak yang membangkitkan kesedaran dan memberi tekanan, mereka yang memegang kuasa akan terus kekal berkuasa.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Khidmat Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
28 November 2023 – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -