Dr Aliakbar saran elaun imam rawatib, guru Kafa dinaikkan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: ADUN Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan berharap, elaun imam rawatib serta guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) dinaikkan sehingga mencapai gaji minimum.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau sudah menimbulkan isu berkaitan kebajikan imam rawatib dan guru Kafa berulang kali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Alhamdulillah beberapa penambahbaikan dan kenaikan telah dibuat oleh kerajaan.

“Walau bagaimanapun saya masih berharap agar kelompok penting dalam masyarakat ini boleh dinaikkan paling kurang untuk mencapai tahap gaji minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri Sabah 2024 dalam sidang DUN, di sini hari ini

Dr Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah beranggapan, perkara itu sangat sesuai dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang antara lainnya berkehendakkan kepada pembangunan insan yang berdiri pada akronim M.

Katanya, mereka merupakan mata rantai kepada pembangunan insan untuk generasi akan datang.

Beliau menekankan, generasi masa hadapan banyak bergantung kepada insan-insan yang berjuang dengan masyarakat.

Terdapat seramai 2,500 orang guru Kafa dan 1,900 orang imam rawatib seluruh negeri.

Terdahulu, semasa persidangan DUN pada 25 Mei lalu, Ketua Menteri dalam jawapan bertulis menyatakan, sebelum ini bayaran elaun kepada 2,490 orang guru Kafa sebanyak RM1,100 sebulan manakala imam rawatib pula seramai 1,605 orang mendapat RM850.

Sehubungan itu, bagi meringankan kos sara hidup yang semakin meningkat, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi ketetapan Majlis Tertinggi MUIS telah bersetuju memberikan tambahan RM100 sebulan bermula bulan Jun lalu. – HARAKAHDAILY 28/11/2023

- Advertisement -