Kedah anggar hasil 2024 berjumlah RM748 juta

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Foto: UPDA)
- Advertisement -

ALOR SETAR: Belanjawan Kedah 2024 menganggar jumlah hasil tahun hadapan berjumlah RM748 juta iaitu melebihi RM13 juta (1.77 peratus) berbanding anggaran tahun lalu (RM735 juta).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penyumbang terbesar daripada hasil cukai berjumlah RM354.23 juta (47.36 peratus), hasil bukan cukai RM223.42 juta (29.87 peratus) dan terimaan bukan hasil cukai RM170.35 juta (22.77 peratus).

Katanya pecahan hasil mengikut kategori kutipan melalui hasil tanah (RM501.03 juta), pelbagai hasil (RM203.55 juta), hasil hutan (RM30.34 juta) dan hasil daerah (RM13.03 juta).

Kerajaan negeri ujarnya komited dan bersungguh-sungguh memastikan anggaran terima hasil yang ditetapkan berjaya dicapai.

“Bajet pengurusan 2024 dicadangkan sebanyak RM852.1 juta dan daripada jumlah itu RM100.39 juta diperuntuk untuk Kumpulan Wang Pembangunan,” katanya ketika membentang Belanjawan Kedah 2024, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Dalam pada itu kata beliau di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan peruntukan melibatkan RM83.34 juta (perbelanjaan tanggungan) dan RM768.76 juta (perbelanjaan perbekalan).

Menurutnya juga anggaran perbelanjaan itu dijangka meningkat sebanyak RM12.98 juta (1.5 peratus) berbanding tahun 2023.

“Bajet Kedah 2024 melibatkan 17 tawaran dalam pelbagai kategori antaranya tadbir urus, perkhidmatan efisien, pendidikan, kebajikan, peluang pekerjaan, wanita dan keluarga dan keusahawan,” ujarnya.

Sanusi juga berkata, anggaran perbelanjaan bagi mengurus dan pembangunan tahun hadapan sebanyak RM1.2 bilion dengan anggaran defisit RM104 juta.

Kata beliau walaupun dianggar berlaku defisit 13 peratus berbanding anggaran perbelanjaan, namun kerajaan negeri akan terus memastikan aliran tunai stabil. – HARAKAHDAILY 26/11/2023

- Advertisement -