Berkempen dalam hujan tidak lemahkan jentera PAS

- Advertisement -

KEMAMAN: Berkempen dalam suasana hujan tidak melemahkan semangat jentera, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sero Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Situasi itu ketika beliau dalam sesi ziarah menyantuni pengundi-pengundi di sekitar UDM Rantau Petronas bersama ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili.

Katanya, jentera PAS menerangkan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Alhamdulillah mereka merasainya dan mengakui kehebatan kepimpinan Dr Sam.

“Dalam ziarah ini saya menyeru penduduk untuk turun mengundi dan mengingatkan ahli keluarga mereka pulang mengundi.

“Undi Dr. Sam untuk Kemaman,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Dr Ahmad Samsuri ditentang oleh calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL, Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan pengundian awal 28 November.

Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih.

Menurut SPR, PRK Parlimen Kemaman memerlukan peruntukan sebanyak RM3.5 juta. – HARAKAHDAILY 25/11/2023

- Advertisement -