SHAH ALAM: Banyak amalan agama Islam tidak dibenarkan di negara-negara Barat termasuk poligami kerana dianggap menyalahi peraturan di negara terbabit.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, begitu juga wanita Islam di sana juga tidak dibenarkan bertudung di tempat-tempat awam kerana dianggap penonjolan imej agama bertentangan nilai sekularisme.
Sebaliknya katanya negara-negara Barat menghalalkan amalan LGBT yang jelas dilarang agama Islam.
“Orang Islam yang menetap di negara-negara Barat menghadapi kesukaran untuk mengamalkan kehidupan Islam secara keseluruhan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 Kali Ke-6 di IDCC hari ini.
Muhyiddin juga berkata, di Malaysia ada pihak yang berani mencabar undang-undang Islam walaupun ia sudah berakar umbi di negara ini sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Bahkan kata beliau dalam perjanjian antara penjajah British dengan Raja-Raja Melayu perkara berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu diletakkan di bawah tanggungjawab raja.
“Ini membuktikan undang-undang Islam sudah lama mempunyai kedudukan istimewa di negara kita termasuklah selepas negara merdeka.
“Undang-undang Islam yang diamalkan di negara ini tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak sekali pun,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!