GEORGETWON: Ketua Pembangkang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff menyifatkan trend kekerapan defisit dalam Belanjawan Pulau Pinang sebagai kurang baik untuk kewangan negeri.
Menurutnya, trend itu berlaku sejak tahun 2018 termasuk Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, hari ini.
“Nampak trend ini tak berapa baguslah dari sudut kewangan negeri. Sebab kerajaan negeri duk ambil duit daripada rizab iaitu duit simpanan kerajaan negeri ini.
“Insya-Allah sebelum hari Isnin nanti kita akan buat penelitian dan insya-Allah saya akan membuat respons sebagai ketua pembangkang bersama ahli-ahli ADUN pembangkang yang lain,” katanya yang juga Adun Sungai Dua kepada Harakahdaily di lobi Bangunan Dewan Undangan Negeri.
Kata Muhammad Fauzi, selain itu pembangkang akan memastikan objektif belanjawan dapat dinikmati setiap lapisan rakyat negeri ini dengan adil.
Belanjawan 2024 Pulau Pinang mencatatkan unjuran defisit sebanyak RM514.53 juta malah nilainya mengalami pertambahan sebanyak RM47.41 juta berbanding defisit tahun 2023.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, anggaran defisit yang dijangka dalam Belanjawan 2024 akan dibiayai daripada rizab kerajaan negeri.
Ini termasuk Akaun Amanah Disatukan yang berbaki sebanyak RM1.67 bilion pada 15 November 2023. – HARAKAHDAILY 24/11/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!