BN kerjasama atau kerja seorang?

- Advertisement -

SUDAH lima hari kempen PRK Kemaman berlangsung dan hanya sembilan hari lagi, kita akan mengetahui berapakah penambahan majoriti PAS di Kemaman. Adakah akan berkurang berbanding 27,000 sebagaimana yang diperolehi oleh Ustaz Alias atau Dr Samsuri akan melipat kali gandakan jumlah dapatan undi bagi PAS. Hampir kebanyakan respon yang diperolehi secara tidak rasmi adalah mahu menghantar Dr Samsuri, calon nombor dua ke Putrajaya, tiada jangkaan PAS kalah. Insya-Allah semoga makbul. 

Semua kempen yang dijalankan BN ketika ini, tidak mendapat tempat di hati rakyat. Ia hanyalah ulangan dan lebih parah, ulangan itu adalah pembohongan lama yang diguna dan dikitar. Tiada lagi agensi Kerajaan Negeri yang biasa menjadi balaci BN ketika kempen-kempen pilihan raya. Tiada lagi berdaya BN memperlakukan kakitangan kerajaan sebagai khadam atau hamba abdi, bagi memenangi pilihan raya. BN sudah lemah, tiada taring dan juga tiada segalanya. Apatah lagi BN kini menjadi komponen yang hina dalam PH, setelah meminta belas ketuanya dibebaskan dari pertuduhan dengan cara keji.

BN ketika ini lebih rendah kastanya berbanding PAN yang sudah dimaklumi sebagai khadam kepada DAP itu. Sebagai khadam lama, PAN dilayan sedikit istimewa berbanding BN, walaupun layanan kepada PAN itu terlalu jauh untuk dianggap sebagai terbaik, tetapi ia tetap istimewa bagi PAN. Namun ia adalah paling ‘low class’ bagi DAP dan PKR. Hanya sahaja, PAN lebih lama duduk bersama mereka. Naiklah pangkat jadi senior atau Lans Koperal dengan BN, masuk dengan pangkat prebet.

Boleh kita bayangkan, setelah selama lima hari ini, tiada langsung kempen yang dilakukan oleh rakan PH mereka bagi membantu BN Terengganu. Kempen ceramah BN pula hanya beberapa kali, lebih malang, ia tiada sambutan. Yang datang ialah petugas-petugas parti BN sahaja. Ia semakin membenarkan dakwaan ramai yang bekas Panglima Angkatan Tentera yang dicalonkan BN kelihatannya seperti boneka bagi membuat rakyat melupakan kejahatan BN dan Presiden Umno.

Balas dendam, itulah perkataan yang paling sesuai yang dilakukan sekarang oleh rakan komponen BN di dalam PH. Sewaktu Parlimen Kuala Terengganu ditandingi Azan Ismail dari PKR, Dato’ Zubir Embong, langsung tidak kelihatan berkempen membantu. Ada markas BN yang berdekatan dengan DUN yang ditandingi oleh rakan PH, tidak berfungsi. Malah dilaporkan petugas-petugas BN sewaktu PRU Negeri Ogos lalu, pergi ke DUN-DUN yang mana BN bertanding, meninggalkan markas mereka di dalam DUN yang ditandingi PAN dan PKR.

Paling diingati semasa perarakan mengiringi calon ke Pusat Penamaan Calon. Di DUN-DUN yang diwakili PAN dan PKR, hanya puluhan sahaja yang berada bersama calon. Jumlah puluhan itupun sudah dikira sekali dengan batang-batang bendera yang dibawa mereka. Kemudian sedikit demi sedikit mereka beransur-ansur beredar sebelum majlis habis dan meninggalkan calon mereka berpeluh-peluh semakin berdebar kerana tahu, kekalahan sudah berada di depan mata. 

Oleh itu rakyat Kemaman, lihatlah bukti yang mereka tidak ada kerjasama, hanya kerana mahu memuaskan nafsu Presiden Umno sahaja, mereka bersatu. Mereka saling meragui dan langsung tidak mahu membantu. Ditambah lagi dengan calon BN yang mempunyai banyak isu sewaktu berada dalam perkhidmatan seperti isu perumahan tentera dan juga skandal LCS, jadi apa yang rakyat Kemaman harapkan dengan prestasi beliau nanti? Mari kita menghantar apa yang dikatakan orang sekarang, calon Perdana Menteri pertama dari Terengganu, Dr Samsuri, calon nombor dua, pasti undi anda berbaloi.

MOHD NASIR ABDULLAH
22 November 2023 – HARAKAHDAILY 22/11/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -