Calon BN Kemaman: Contoh panglima kena ‘queen control’?

- Advertisement -

HANGAT kini BN sedang memainkan naratif perihal kebaikan yang telah dilakukan oleh calon mereka, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia sewaktu banjir besar melanda Kemaman 10 tahun lalu. Ketika itu, beliau memegang jawatan Panglima Tentera Darat. Bantuan daripada tentera yang diberikan waktu banjir yang berlaku beberapa hari itu antaranya ialah jambatan taktikal di bandar Chukai. Lalu gegerlah penyokong BN berkenaan jasa dan bakti calon BN itu.

Terima kasih ATM. Tidak dinafikan langsung, pembinaan jambatan taktikal itu, memudahkan pergerakan rakyat di Kemaman masa itu. Perlu diingat, ia memudahkan, tetapi tidaklah sampai langsung tidak boleh ke seberang kerana ada lagi jalan lain merentasi bandar Chukai. Dan segala aset tentera yang digunakan diizinkan setelah mendapat kelulusan kementerian. Panglima Tentera Darat adalah di bawah kementerian, bukan dia yang memegang kuasa kementerian. Kuasa beliau terhad. Jika keputusan waktu itu tidak membenarkan aset tentera dikeluarkan, maka tiada apa yang boleh beliau lakukan, walaupun beliau menangis mahu buat, kerana ia dekat dengan sekolah beliau dahulu.

Namun jasa dan bakti beliau kepada Kemaman hanyalah untuk isu banjir 2013 itu sahaja. Berbanding dengan kuasa Menteri Besar Terengganu yang memerintah semenjak 2018 itu, telah menyediakan kesejahteraan kepada jutaan rakyat Terengganu secara keseluruhannya. Banyak yang gagal dibuat oleh BN dahulu, disempurnakan oleh Dr Samsuri sewaktu memerintah tanpa mengira penyokong BN atau PAS. Rekod ini mungkin sudah dihafal oleh majoriti rakyat Terengganu. Antara contoh terbesar ialah Dr Samsuri dengan barisan Exconya telah melunaskan 20 tawaran dalam manifesto 2018-2023 itu.

Veteran Komunis lebih beruntung?

Mengambil satu contoh kejayaan Dr Samsuri ialah berjaya menyiapkan ribuan buah rumah kepada rakyat Terengganu. Manakala calon BN sewaktu menjadi Panglima, gagal membahagiakan tentera yang ada hidup miskin setelah tamat khidmat mereka. Isu perumahan dan tanah tentera, terbiar sahaja. Gah membuat jambatan taktikal, dalam masa yang sama, ada veteran tentera hidup merana, gagal ditangani beliau, walaupun beliau sepatutnya berjuang demi kehidupan veteran tentera yang lebih selesa.

Lebih pedih lagi, apabila Komunis yang dahulunya menentang tentera sehingga ramai tentera yang terbunuh, diberikan tanah-tanah bagi memujuk mereka meninggalkan perjuangan Komunis. Datanglah ke DUN Kemasik, anda akan dapati Kampung Air Jerneh adalah salah satu perkampungan pemutihan untuk Komunis yang didiami seramai lebih kurang 900 orang. Dan lebih menariknya, undi mereka adalah untuk PKR dan DAP manakala undi veteran tentera itu terutama dalam kem, hampir 100 peratus diserahkan kepada BN. Begitupun undi veteran tentera dicampak dengan hina oleh BN.

Adakah penulis cuba meracun pengundi dengan cerita rekaan? Oh, tidak, penulis menulis dengan fakta dan bukti. Pada tahun 2004, seusai BN menang kembali di Terengganu, BN telah membekukan semua kelulusan tanah di Terengganu. Antara pemohon yang malang itu ialah saudara Abdul Khalid Shaari yang telah memohon tanah di RTB Pengkalan Merbau, Setiu. Beliau berhabisan sebanyak RM20,000 secara pinjaman untuk membayar premium tanah, membina kerangka rumah, bagi menjalankan kewajipan beliau sebagai ketua keluarga, menyediakan keluarga beliau tempat berteduh.

Lebih memeritkan lagi, tanah itu telah dimohon beliau semenjak zaman pemerintahan Umno lagi dan sudah beberapa kali tidak diluluskan. Seperti tiada nilai khidmat bakti tentera kepada negara, Umno perlakukan. Hanya ketika PAS memerintah 1999-2004, membuat semakan, beliau layak dikurniakan tanah RTB itu. Dengan gembira sekali, beliau menerima kelulusan permohonan dan hanya menanti detik diserahkan geran sebagai bukti sahih beliau sebagai empunya tanah yang sah.

Air mata tentera gugur bukan di medan perang

Lot tanah beliau itu berada di tengah-tengah kemudiannya diberikan surat amaran untuk dirobohkan. Pada sangkaan beliau, tidaklah sejahat itu Kerajaan Negeri mahu merobohkan rumah beliau dan beliau sentiasa membayar tol. Namun akhirnya air mata jantan Abdul Khalid gugur juga seiring dengan robohnya rumah beliau ditolak jentolak, walaupun pimpinan PAS berhimpun bagi menghalangnya. Kepedihan asap gas pemedih mata, menyuraikan mereka. Dan Abdul Khalid terpaksa membayar ansuran pinjaman beliau kepada Koperasi Tentera, walaupun rumah beliau dirobohkan.

Alhamdulillah dalam janji manifesto, Dr Samsuri sebagai Menteri Besar mengembalikan semula tanah-tanah yang dirampas kepada peserta tanah TRB yang dizalimi BN, Abdul Khalid telah menerima geran tanah beliau. Untuk rekod, majoriti tanah RTB yang dirampas Umno, tidak dibuat apa-apapun sehingga PAS mengambil alih semula kerajaan. Begitulah jahatnya Umno, apatah lagi terhadap tentera. Di manakah bekas Panglima Tentera yang menjadi calon BN sekarang, ketika itu? Adakah beliau tahu kisah ini? Bangga dengan jambatan taktikal, tetapi biarkan anggota sendiri hidup sebegitu oleh Umno?

Tiada guna menjadi Panglima jika hidup secara ‘queen control’ tidak berdaya berbuat apa-apa ketika mana mereka iaitu BN mendakwa berkuasa. Apatah lagi kini, kuasa PH dipegang oleh ‘abang besar’, bukan lagi BN. Apa lagi daya mereka? Jadi tiada guna rakyat Kemaman memilih orang yang hanya berbangga dengan kuasa, tetapi tiada kuasa ataupun mungkin tidak mahu untuk membantu anak buahnya seperti bekas Panglima, calon BN di Kemaman. Ironinya setelah calon BN melihat sendiri layanan BN terhadap bekas anggotanya, beliau masih memilih BN untuk berjuang. Lemah…

MOHD NASIR ABDULLAH
19 November 2023 – HARAKAHDAILY 19/11/2023 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -