Litigasi strategik: Gerakan terancang cabar Syariah

- Advertisement -

KUALA NERUS: Perundangan Syariah yang sedang dicabar hebat secara bertali arus di dalam negara ketika ini sebenarnya merupakan satu gerakan terancang yang dikenali sebagai litigasi strategik.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS, Wan Rohimi Wan Daud berkata, tugas atau kerja mereka itu adalah untuk merungkaikan sendi-sendi agama termasuk merombak pelaksanaan Syariah. 

“Litigasi tu maksudnya peperangan dalam mahkamah; proses pertarungan, perundangan di mahkamah ada satu kumpulan yang melakukan perancangan yang sangat berstrategik. Daripada awal 1990 lagi.

“Untuk mencari atau membina kes-kes yang boleh mematahkan, merungkaikan sendi-sendi Syariah dalam negara kita,” ujarnya pada Wacana Perundangan Syariah Negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus, di sini kelmarin.

Menurut beliau, perundangan Islam menerusi Mahkamah Syariah di negara ini telahpun diberikan kuasa eksklusif tanpa campur tangan sivil hasil perjuangan Almarhum Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim.

Jelas beliau, acap kali Mahkamah Sivil mencampuri bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan membatalkan keputusan-keputusan dibuat Hakim Syarie hingga akhirnya negara meminda Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada 10 Jun 1988.

Maklum beliau, sejak tahun 1993 lagi, Kelantan sudah memiliki pakej enakmen Syariah yang lengkap meliputi hudud, takzir dan qisas, manakala Terengganu menyusuli menggubal enakmen seumpama pada tahun 2001.

“Ini telah mengundang ancaman yang besar kepada orang pembenci-pembenci Islam, kepada sebilangan besar golongan kufar yang tidak ingin melihat Islam ditadbir dalam negara kita. Dari situlah bermulanya apa yang dinamakan gerakan litigasi strategik. 

“Mereka mula pada pertengahan 1990 walaupun kelompok mereka tak ramai. Tapi mereka terdiri dari golongan cendekiawan, terdiri daripada orang-orang yang pakar dalam bidang perundangan.

“Peguam-peguam yang hebat bekas-bekas profesor yang mempunyai arus pemikiran liberal bergabung dengan kumpulan bukan-Islam. Gerakan ini mencari kes-kes yang boleh digunakan untuk mencabar sendi-sendi agama,” dedahnya.

Bongkarnya lagi, gerakan tersebut aktifkan dengan sangat agresif mencari kes-kes yang melibatkan seperti kesalahan murtad dan hadanah antara pasangan yang berkahwin dalam agama selain Islam kemudian pasangan memeluk Islam.

“Perjuangan mereka tak pernah berhenti. Walaupun kita orang Islam dah menang 1988 dengan pindaan Perlembagaan. Kita tidur lena, tapi mereka tak pernah berhenti mereka tak pernah berundur. 

“Mereka hadir dengan kejayaan yang paling besar selepas perjuangan mereka puluhan tahun. Pada 12 Januari 2018 dalam kes Indira Gandhi buka kes yang baru,” ujarnya memperincikan tindakan mencabar keabsahan keislaman anak pasangan tersebut.

Beliau mengemukakan bagaimana pihak berkenaan tidak berputus asa untuk terus mencabar walaupun kalah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan hingga kemudiannya menang di Mahkamah Persekutuan.

Wan Rohimi juga menampilkan satu persatu contoh kes yang menunjukkan kesungguhan dan tidak berputus asanya gerakan tersebut hingga berjaya mematahkan sendi-sendi perundangan Syariah.

Peringat beliau, sekiranya tindakan gerakan itu berjaya membatalkan peruntukan yang dicabar, bermakna enakmen Syariah sedia ada boleh runtuh musnah kerana ia digubal dari kuasa DUN yang sama.

Katanya juga, dengan kejayaan tersebut, gerakan itu akan teruskan pula ke negeri-negeri lain bagi mencabar peruntukan-peruntukan enakmen Syariah yang telah diwartakan di negeri-negeri lain. 

Menurut Wan Rohimi, biarpun ubat atau penyelesaian tersebut dapat ditangani dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan, tetapi dijangka dalam 10 tahun ini pindaan itu tidak akan terjadi. – HARAKAHDAILY 18/11/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -