Umat Islam perlu bersatu pertahan undang-undang syariah

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA NERUS: Isu seorang peguam dan anaknya mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan memerlukan penjelasan yang tuntas kepada masyarakat.

- Advertisement -

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, implikasi tindakan peguam terbabit sangat besar.

Katanya, implikasinya akan memberi kesan kepada seluruh negeri-negeri di Malaysia.

“Umat Islam di negara ini perlu bersatu memberi sokongan dan bersolidariti bagi mempertahankan undang-undang Syariah yang sedang dicabar,” katanya pada sidang media selepas Wacana Perundangan Syariah Terengganu di Dewan Jubli Perak, Pusat Pentadbiran Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Wacana ini dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu.

Hadir sama Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah dan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris.

Wacana yang berlangsung separuh hari itu mengumpul lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada penjawat awam, pegawai masjid, pelajar universiti dan NGO.

Tiga pembentang diundang iaitu pensyarah Undang-Undang Universiti Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz, Timbalan Exco Kelantan Wan Rohimi Wan Daud dan peguam Sallehudin Harun.

Sebelum ini seorang peguam dan anaknya mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 November ini bagi menyambung pendengaran petisyen.

Petisyen didengar panel sembilan hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat di mana prosiding bermula 17 Ogos lalu.

Dr Muhammad Khalil juga berkata, wacana itu menunjukkan kerajaan Terengganu sentiasa berusaha memartabatkan perundangan syariah di negeri itu.

Manakala kerajaan Kelantan akan menganjurkan munajat Pertahan Undang-Undang Syariah pada Sabtu ini di Stadium Sultan Muhammad IV. – HARAKAHDAILY 16/11/2023

- Advertisement -