Mahkamah sahkan i-Siswa, i-Belia bukan program sogokan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan kemenangan PRU15 P.037 Marang kepada PAS diwakili Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermakna telah menolak petisyen dan rayuan dikemukakan Barisan Nasional.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, keputusan itu sekali gus menidakkan tuduhan yang mendakwa inisiatif i-Siswa dan i-Belia oleh Kerajaan Negeri Terengganu adalah program sogokan.

Menurut beliau, petisyen seumpama terpaksa dilalui beliau bagi kerusi PRU15 P.036 Kuala Terengganu dan Che Alias Hamid di P.040 Kemaman hingga kemenangan dibatalkan dan PRK terpaksa diadakan.

Bagaimanapun ujarnya, Mahkamah Persekutuan telah mengesahkan penghakiman telah dibuat Mahkamah Tinggi sebelum itu bahawa inisiatif berkenaan tidak dianggap sogokan yang menjadi alasan kepada petisyen.

“Saya dimaklumkan, mahkamah telah secara tegas memuktamadkan maksud agensi itu adalah wakil kepada calon itu adalah wakil yang jelas dari segi proses pelantikannya sebagai wakil calon.

“Jadi keputusan di Mahkamah Persekutuan adalah merupakan keputusan yang muktamad tentang apa-apa isu yang dipertikaikanlah dalam kes petisyen pilihan raya,” ujar menjawab antara pertikaian di dalam petisyen berkenaan.

Berhubung salah faham terhadap tindakan tidak mengemukakan rayuan ke atas pembatalan kemenangan bagi dua kerusi tersebut sebagai pengakuan bersalah, Ahmad Amzad menjelaskan pendirian PAS.

Terang beliau, PAS memilih menghentikan proses di peringkat mahkamah dengan tidak membuat rayuan itu dan menyerahkan kembali mandat kepada rakyat bagi membuat penentuan semula terhadap perkara itu.

“PAS mengambil keputusan untuk tidak memanjangkan proses di mahkamah kerana memikirkan bahawa adalah lebih sesuai untuk kepuasan hati rakyat di kawasan masing-masing supaya mandat ini diserahkan kembali kepada rakyat. 

“Dan ia tidak sekali-kali bermaksud pengakuan bersalah. Dan dalam mahkamah semalam hakim menerima pandangan peguam PAS bahawa itu adalah merupakan salah satu remedi yang bukan bermaksud pengakuan bersalah. 

“Jadi secara moral, sebenarnya di Kemaman ni kerusi itu sebenarnya adalah milik PAS dan seeloknya kembalikan sajalah kepada PAS, mana-mana pihak tak payah bertanding dah. Sebab ia adalah sebenarnya milik PAS. 

“Dan Mahkamah Persekutuan telah memutuskan penghakiman bahawa program yang didakwakan sebelum ini adalah bukan berunsur rasuah sepertimana keputusan terdahulu di peringkat Kemaman dan Kuala Terengganu,” ujarnya.

PRK P.036 Kuala Terengganu telah diadakan serentak dengan PRN DUN Terengganu dan lima negeri lain pada 12 Ogos lalu di mana Amzad mencapai kemenangan lebih besar dari diperolehinya pada PRU15.

Manakala PRK P.040 Kemaman telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2 Disember bagi pembuangan undi, didahului penamaan calon pada 18 November lusa. – HARAKAHDAILY 16/11/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -