Konsert Coldplay: Jangan terjun lubang biawak kali kedua

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T dalam Surah Al-Hajj: 41 yang bermaksud;

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa Kerajaan Madani menghentikan konsert sebuah kumpulan artis antarabangsa, Coldplay yang akan beraksi di ibu negara dalam masa terdekat.

Negara sebelum ini pernah dimalukan dengan insiden tidak senonoh sebuah band antarabangsa yang bercumbu sesama jenis di atas pentas, bahkan menghina pendirian Malaysia melarang perlakuan LGBT. Apakah kita perlu terjun dalam lubang biawak buat kali kedua? 

Konsert tersebut bahkan tidak menyelesaikan pun isu kos sara hidup yang timbul pada hari ini, apatah lagi tiada manfaat ekonomi kepada negara. Malah, ia menambah kelalaian kepada golongan muda. Justeru, mengapa kerajaan begitu bersungguh mengalu-alukan kedatangan mereka?

Kerajaan tidak wajar membenarkan konsert tersebut berlangsung apatah lagi dalam masa yang sama bumi Gaza masih genting bermandi darah. Usah undang hipokrasi dalam bersolidariti kepada umat Islam di Palestin. Sangat mendukacitakan apabila solidariti Palestin dihalang laungan takbir dan Qunut Nazilah, tetapi sebaliknya mereka membenarkan artis Barat terkinja-kinja di atas pentas.

Konsert sedemikian bukan sahaja akan mencemarkan nama baik Malaysia, bahkan menzahirkan sikap hipokrit negara terhadap perjuangan di Palestin. Apakah kita masih tegar membawa rakyat khususnya anak muda ke lembah kelalaian sedangkan anak muda Palestin berjuang mempertahankan agama dan tanah air?

Oleh yang demikian, DUPP bertegas supaya kerajaan mengambil sikap yang prihatin dalam soal ini serta membatalkan segera konsert tersebut. Tiada gunanya kita membiarkan rakyat dalam negara dilalaikan dengan perkara berkenaan sedangkan dalam masa yang sama kita bercakap soal nasib yang menimpa saudara kita di Palestin.

Sekian, terima kasih.

YB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
2 Jamadilawwal 1445 Hijri | 16 November 2023 Miladi – HARAKAHDAILY 16/11/2023 

- Advertisement -
- Advertisement -