TG Abdul Hadi kekal MP Marang, rayuan Umno ditolak

Foto hiasan.
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini secara sebulat suara menolak rayuan Umno (BN) tanpa perintah kos terhadap rayuan petisyen pilihan raya parlimen Marang.

- Advertisement -

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.

Turut bersidang Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Rodhariah Bujang, bertempat di Istana Kehakiman Putrajaya.

Keputusan itu dicapai selepas Mahkamah Persekutuan mendengar hujahan peguam pempetisyen dan responden.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu mengekalkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Ahli Parlimen kawasan itu selepas menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan tersebut.

Rayuan itu dikemukakan Jasmira Othman. Sebelum ini beliau diwakili peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff.

Manakala responden pula diwakili peguam Datuk Seri Takiyudin Hassan, Wan Rohimi Wan Daud, Ahmad Lutfi Awang, Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu.

Pada 3 Januari lalu Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu, Tuan Guru Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi setelah memperoleh 73,115 undi menewaskan Jasmira (31,386 undi), Azhar Ab Shukur (PH – 4,140) dan Dr Zarawi Sulong (Pejuang – 427).– HARAKAHDAILY 15/11/2023

- Advertisement -